[ad_1]
Kementerian Kerja Raya memasang tiga jambatan panel keluli bermodular atau jambatan Bailey di seluruh negara susulan musim tengkujuh sejak Nov lalu.
Timbalan menterinya, Ahmad Maslan berkata, jambatan Bailey pertama siap dipasang di Melaka pada 21 Nov, disusuli di Jeli, Kelantan pada 8 Jan lalu.
“Jambatan ketiga di Pekan dan ini adalah pembinaan jambatan Bailey paling pantas, hanya tiga hari siap. Ia mula dibina pada Khamis (11 Jan) dan siap hari Sabtu.
“Selalunya prosedur memasang jambatan Bailey ini ambil masa antara lima hingga tujuh hari.
“Namun, kerana faktor cuaca hujan sepanjang minggu lepas, kerja penurapan untuk laluan masuk ke jambatan ini belum dapat disiapkan,” katanya.
Dia berkata demikian kepada media selepas melawat kerja pemasangan jambatan Bailey di Seksyen 102 Jalan Kuantan-Segamat (FT012), dekat Pekan, Pahang, hari ini.
Jambatan sepanjang 30 meter itu dibina susulan kejadian jalan mendap pada 7 Jan lalu selepas hujan berterusan di kawasan terbabit.
Hujan lebat yang mengakibatkan limpahan air sungai dan arus deras di bawah jalan menghakis permukaan tebing serta lapisan di laluan berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata kos pemasangan jambatan itu berjumlah RM550,000 dan jika keadaan cuaca mengizinkan, ia dapat disiapkan dan boleh digunakan menjelang hujung minggu ini.
Dia turut memaklumkan pihak JKR masih mempunyai stok jambatan Bailey yang disimpan di stor mereka untuk tujuan kecemasan.
“Jambatan Bailey ini ada dalam simpanan stor JKR di Johor Bahru, Johor; Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Petaling, Selangor; Temerloh, Pahang; Kinta, Perak; Kedah dan Machang, Kelantan.
“Macam jambatan yang dipasang di sini (Pekan) dari (stor) Temerloh, nilainya RM5.2 juta dan ia boleh dibuka semula untuk dipasang di lokasi lain.
“Kita (JKR) ada stok 1,780 kaki lagi (panel besi bermodular) yang boleh digunakan untuk memasang 17 jambatan Bailey, jika berlaku masalah seperti ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, jambatan Bailey dipasang di Kampung Stulang Daeng, Melaka pada Nov lalu, susulan kejadian jambatan asal di kampung itu roboh pada 16 Okt tahun lalu.
Jambatan Bailey kedua pula siap dipasang pada 8 Jan lalu di Jalan Dabong-Jeli, dekat Jeli, Kelantan.
Ia dibina susulan laluan itu terputus akibat aliran air deras.
Pemasangan itu dilakukan 40 pegawai dari Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, JKR Jajahan Machang, Kelantan; JKR Daerah Temerloh, Pahang dan JKR Daerah Kinta, Perak.
[ad_2]