[ad_1]
PN menganggap Anwar Ibrahim gagal memberikan penyelesaian menyeluruh terhadap masalah rakyat “yang kian meruncing” kerana perdana menteri sibuk dengan hal lain.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata apa yang berlaku kini adalah realiti yang dihadapi rakyat.
Selepas setahun kerajaan Madani memerintah, dakwa bekas perdana menteri itu, kehidupan orang ramai semakin sukar.
“Setakat ini saya tidak nampak perdana menteri mampu untuk memberikan penyelesaian yang tuntas kepada permasalahan rakyat yang kian meruncing ini.
“Beliau nampaknya lebih sibuk memastikan musuh-musuh politik ditindas daripada menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dakwaan Muhyiddin itu muncul pada hari isteri Daim Zainuddin, Na’imah Abdul Khalid, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan gagal mendedahkan asetnya seperti dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebelum ini Daim – yang juga bekas menteri kewangan dan orang yang dilihat dekat dengan Dr Mahathir Mohamad – disiasat agensi antirasuah berkenaan.
Selain itu anak Mahathir, Mirzan, juga diberi notis oleh SPRM agar mendedahkan aset yang dimilikinya dalam tempoh 30 hari atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Beri kesan secara langsung
Mahathir semalam mendakwa dia berasa bimbang dengan tindakan berkenaan dan menganggap siasatan tersebut dibuat secara tidak wajar.
Muhyiddin berkata semalam ringgit mencatat kejatuhan paling rendah dalam tempoh 26 tahun berbanding dolar AS, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lalu pula gagal mencapai sasaran antara 4 hingga 5 peratus.
Katanya jumlah dagangan Malaysia pula terus menjunam pada Dis tahun lalu apabila merekodkan kemerosotan untuk bulan ke-10 berturut-turut sejak Mac 2023.
“Jumlah dagangan negara pada Disember 2023 menurun 4.3 peratus kepada RM225.1 bilion, berbanding RM231 bilion pada tahun sebelumnya.
“Sementara itu, bermula tahun ini rakyat akan semakin terbeban dengan kenaikan cukai SST (jualan dan perkhidmatan) serta cukai-cukai baru seperti Cukai Barangan Bernilai Tinggi pada kadar antara 5 hingga 10 peratus, dan Cukai Barangan Bernilai Rendah yang dijual di atas talian pada kadar 10 peratus,” katanya.
Turut dijangka memberi tekanan kepada orang ramai, kata ahli parlimen Pagoh itu, ialah kenaikan tarif elektrik mulai Jan 2024 dan penarikan balik subsidi pukal yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Semua ini pastinya akan memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Selain itu, tambah Muhyiddin, rungutan rakyat mengenai kekurangan beras tempatan di pasaran yang berlarutan sejak sekian lama seperti tidak diambil berat lagi oleh kerajaan.
Kata Muhyiddin dia membuat tinjauan di beberapa tempat dan mendapati rakyat masih sukar memperolehi beras tempatan walaupun sepatutnya 70 peratus bekalan beras adalah beras tempatan.
“Sasaran menoktah kemiskinan juga umpama menanam tebu di bibir. Ia masih gagal menjadi kenyataan,” katanya.
[ad_2]