[ad_1]
Perbicaraan kes saman difailkan Dr Mahathir Mohamad terhadap Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’ yang dijadualkan hari ini, ditangguhkan ke 19 Julai depan.
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan penangguhan itu susulan permohonan peguam Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi, yang memberitahu bahawa anak guamnya tidak sihat.
Mior Nor Haidir memaklumkan bekas perdana menteri itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak 26 Jan lepas dan IJN menghantar surat kepada mahkamah memaklumkan anak guamnya tidak sihat untuk hadir ke mahkamah hari ini.
“Anak guam kami diberi sijil cuti sakit oleh IJN dari 26 Jan hingga 18 Feb ini.
“Kami mohon supaya perbicaraan hari ini ditangguhkan,” kata Mior Nor Haidir yang turut dibantu peguam Rafique Rashid Ali.
Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid kemudian mencadangkan perbicaraan kes itu bermula Okt.
Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan itu dan menetapkan tarikh baru perbicaraan pada 19 Julai, 26 dan 27 Ogos serta 29 dan 30 Okt ini.
Sementara itu, Mior Nor Haidir memaklumkan kepada mahkamah pihak plaintif mengemukakan dua saksi iaitu Mahathir dan anaknya Mukhriz untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes berkenaan.
Mohamed Shahrul Fazli pula berkata Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri dan seorang lagi saksi sepina akan memberi keterangan pada perbicaraan nanti.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Mahathir mendakwa Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat Umno Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Kenyataan itu kemudian diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.
[ad_2]