[ad_1]
Satu kem dalam Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengadakan mesyuarat agung luar biasa di Pelabuhan Klang, Selangor, semalam, untuk memilih kepimpinan baru, diketuai bekas presidennya Rohana Ariffin.
Menurut Rohana, keretakan dalam parti itu bermula apabila presidennya Ariffin Salimon meninggal dunia pada Disember 2023.
“Perpecahan berlaku kerana timbalan presiden Ezam Mohd Nor diketepikan selepas kematian Ariffin dan naib presiden Ahmad Jufliz Faizal dilantik sebagai pengganti.
Rohana mendakwa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) belum memutuskan kem mana yang sah pada masa ini tetapi cadangan untuk mengadakan kongres khas diputuskan oleh jawatankuasa pusat parti pada 28 Jan 2024.
PRM ditubuhkan pada tahun 1955 dan mendapat perhatian menerusi kerjasama dengan Parti Buruh Malaysia di bawah Barisan Sosialis.
Bagaimanapun, ia menjadi lemah siri penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1960-an dan 1970-an, dan akhirnya bergabung dengan Parti Keadilan Nasional pada 2002 yang kini membentuk PKR.
Rohana adalah sebahagian daripada kumpulan yang menentang penggabungan itu dan menghidupkan semula parti dengan membawanya ke mahkamah.
Selepas Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim kembali ke PKR, Rohana menjadi presiden PRM dari 2010 hingga 2015.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, parti itu disertai beberapa ahli politik seperti Ezam, bekas Adun DAP Janice Lee, dan bekas Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam.
“PRM masih sebuah parti yang progresif dan berhaluan kiri. Dalam masa terdekat, kami akan berhubung dan cuba bekerjasama dengan parti seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan juga akan mendapatkan kerjasama dengan Muda, Bersih, dan Anak Bangsa Malaysia.
“Kita juga akan memulakan sesi sekolah rakyat untuk mendidik ahli muda dan baru tentang sejarah dan perjuangan PRM. Kami juga akan mendesak pilihan raya majlis tempatan dan sistem perwakilan berkadar,” kata Rohana.
[ad_2]