[ad_1]
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman tidak akan menyertai siri jelajah bersama Perikatan Nasional (PN), kata setiausaha agung parti itu, Amir Hariri Abd Hadi.
“Muda sebulat suara, memberikan komitmen sebagai blok ketiga dalam dan luar Parlimen dan akan terus menjadi semak dan imbang kepada kedua-dua blok utama dalam politik Malaysia.
“Isu penyertaan Muda dalam acara yang tular telah pun dijawab oleh pimpinan Muda. Kami ingin sekali lagi, secara tegas mengingatkan kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan melangkaui keputusan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dua hari lalu, Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata kepimpinan Muda akan bertemu untuk membincangkan hala tuju parti dan juga untuk memutuskan sama ada parti itu akan menyertai siri jelajah bersama PN.
Minggu lalu, Muhyiddin mengumumkan PN akan memulakan jelajah ke seluruh negara untuk menerangkan hal ehwal semasa kepada orang ramai selepas bulan Ramadan.
Siri jelajah itu katanya akan turut disertai Syed Saddiq.
Susulan itu, setiausaha agung parti itu, Amir berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam jawatankuasa pimpinan pusat.
Syed Saddiq kemudiannya mewajarkan penyertaannya dalam siri jelajah itu dengan mengatakan ia tidak bermakna dia menyokong pakatan pembangkang.
Amira juga mengulangi bahawa Muda hanya bekerjasama dengan PSM.
[ad_2]