[ad_1]
Seorang pemimpin Umno mencabar Majlis Peguam memberi respons terhadap penghakiman berbeza dalam keputusan mahkamah yang menolak permohonan semakan bekas perdana menteri, Najib Razak dalam kes SRC International.
Ahli majlis tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi mendakwa majlis itu “berat sebelah” dan “bermain politik” mengenai usul yang diluluskan pada mesyuarat agung tahunan Badan Peguam Malaysia ke-78 semalam.
Usul itu adalah untuk memfailkan cabaran undang-undang terhadap keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib kepada enam tahun.
Majlis Peguam ialah badan pegurusan bagi badan peguam Malaysia.
Usul itu diluluskan oleh peguam yang menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) Badan peguam dan bukannya oleh majlis peguam.
“Majlis Peguam berat sebelah, memihak dan main politik. Hingga hari ini mereka membisu apabila Tommy Thomas (bekas peguam negara) gugurkan kes rasuah Lim Guan Eng.
“Saya cabar Majlis Peguam jawab penghakiman Abdul Rahman Sebli, Hakim Besar Sabah-Sarawak.
“Dia kata Najib patut bebas kerana dinafikan perbicaraan adil,” kata Puad di laman Facebook, hari ini.
Pada April tahun lepas, Rahman yang mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, menyampaikan keputusan bertentangan bahawa dia cenderung membenarkan permohonan semakan terhadap keputusan ke atas Najib serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Mengulas lanjut, Puad mendakwa usul yang diluluskan oleh Badan Peguam, yang diketuai oleh presiden yang baru dilantik Ezri Abdul Wahab, telah mewujudkan “kekeliruan” yang perlu dijawab oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa dan Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Salleh.
“Usul Majlis Peguam seolah-oleh menuduh Lembaga Pengampunan tidak adil dan bukan di bawah prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Bekas ahli parlimen Batu Pahat itu berkata, Najib tidak memohon hukuman diringankan, sebaliknya merayu untuk diberikan pengampunan penuh atas 12 hujah bahawa dia tidak mendapat perbicaraan yang adil.
Ezri semalam berkata Badan Peguam memfailkan cabaran undang-undang tentang bagaimana Lembaga Pengampunan membincangkan permohonan semakan Najib, dan bukannya keputusan muktamad yang diberikan oleh Agong.
Pada Februari lalu, lembaga pengampunan mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib dari 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda yang dikenakan dari RM210 juta kepada RM50 juta.
Keputusan tersebut membawa kepada kemungkinan Najib dibebaskan pada Ogos 2026 selepas masa penjaranya dikurangkan lagi atas kelakuan baik.
[ad_2]