[ad_1]
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan generasi penamat (GEG) dalam penggunaan tembakau dan vape tidak berjaya kerana terdapat isu perlembagaan, bukan kerana pengaruh pelobi.
Dzulkefly berkata demikian selepas timbalannya Lukanisman Awang Sauni mendedahkan wakil industri bertemu dan mempengaruhi anggota parlimen sebelum perbahasan rang undang-undang.
Dzulkefly bagaimanapun berkata kenyataan timbalannya itu silap.
“Itu saya kira adalah salah, salah pada fakta dan salah (anggapan) pada ucapan timbalan menteri kerana saya semak perkara itu,” kata Dzulkefly kepada Dewan Rakyat hari ini.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda – Muar) berkaitan kenyataan Lukanisman pada parlimen minggu lepas.
Terdahulu kenyataan Lukanisman menimbulkan kebimbangan sebuah persatuan pengguna berpengaruh yang antaranya mahu tahu sejauh mana “penyusupan” dan “pengaruh” pelobi terhadap parlimen.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) justeru menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat pengaruh pelobi industri tembakau dan vape dalam menghapuskan peruntukan generasi penamat (GEG) daripada undang-undang kawalan produk rokok.
Pada 14 Mac lalu, ketika mendedahkan pengaruh itu, Lukanisman meminta sokongan semua ketika berdepan “tekanan” daripada pihak industri.
[ad_2]