[ad_1]
Seorang perunding hartanah di Sabah dihukum penjara enam bulan dan denda RM15,000 kerana menyiarkan komen Facebook yang menyinggung tentang Islam berhubung skandal stokin “Allah”.
Ricky Shane Cagampang mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Multimedia dan Komunikasi.
Lelaki berusia 33 tahun itu – yang tidak diwakili peguam – mengaku membuat komen yang menyinggung perasaan orang Islam itu di akaun Facebook NST.
Ricky berkata dia memadamkan komen tersebut dua atau tiga minit kemudian.
The Borneo Post melaporkan tertuduh merayu agar hukumannya diringankan dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan serupa pada masa hadapan.
Dia juga mendakwa seorang mualaf sejak 2021 dan ini adalah kesalahan jenayah pertamanya.
Semasa menjatuhkan hukuman, hakim Amir Shah Amir Hassan memutuskan untuk mengenakan denda saja adalah tidak memadai dan tidak akan memberi kesan kepada tertuduh.
Justeru kata Amir Shah, adalah wajar untuk tertuduh diasingkan buat sementara waktu bagi membolehkan dia insaf dan bermuhasabah.
Sebelum ini, Ricky telah memohon maaf melalui Facebook selepas sekumpulan lelaki cuba bersemuka dengannya di lobi kondominium tempat dia tinggal.
Bagaimanapun cubaan kumpulan terbabit untuk masuk dihalang oleh pengawal keselamatan bangunan itu.
Untuk rekod seorang lelaki lain dijangka didakwa esok di Kuala Lumpur juga atas komennya mengenai isu stokin tertera kalimah Allah.
[ad_2]