[ad_1]
Satu hantaran Facebook oleh Kedutaan Israel di Singapura menafikan Palestin ada disebut dalam al-Quran dan mendakwa orang Yahudi merupakan penduduk asal Palestin telah diturunkan selepas pihak kedutaan diarahkan berbuat demikian oleh kerajaan republik itu.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura, K Shanmugam berkata hantaran itu tidak boleh diterima sama sekali dan salah pada banyak peringkat selain berisiko menjejaskan keselamatan dan keharmonian Singapura.
“Saya amat kecewa apabila diberitahu mengenainya. Kementerian saya, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), bercakap dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) semalam dan berkata bahawa kedutaan perlu menurunkan hantaran itu serta-merta. Mereka telah menurunkannya,” katanya kepada media tempatan pada Isnin.
Shanmugam juga berkata hantaran itu tidak sensitif dan tidak sesuai, serta salah untuk merujuk kepada teks agama secara tertentu sahaja bagi membuat pendirian politik.
“Hantaran ini merupakan percubaan yang menghairankan untuk menulis semula sejarah. Penulis hantaran itu perlu melihat resolusi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), lihat sama ada tindakan Israel sejak beberapa dekad lepas konsisten dengan undang-undang antarabangsa, sebelum cuba menulis semula sejarah,” katanya.
Menurut media tempatan, hantaran pada Ahad itu mendakwa Israel disebut sebanyak 43 kali dalam al-Quran manakala Palestin tidak disebut sama sekali dan setiap bukti arkeologi mengaitkan tanah Israel dengan penganut Yahudi sebagai penduduk asal tanah itu.
Sementara itu, Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad menyifatkan hantaran berkenaan sebagai tidak sensitif dan tidak menghormati serta bertentangan dengan semangat saling hormat-menghormati dan persefahaman yang telah dibina Singapura dengan kegigihan dan kerja keras selama ini.
“Tiada siapa boleh membuat tafsiran yang menyinggung perasaan orang lain, terutama sekali menggunakan teks suci mereka untuk mendapat kelebihan politik.
Hantaran yang tidak sensitif dan tidak sesuai seperti itu boleh menyebabkan perselisihan dan menyemai rasa tidak percaya di kalangan masyarakat berbilang di kaum dan agama di Singapura,” katanya di Facebook.
Masagos Zukifli juga menggesa rakyat Singapura agar bertenang dan bersopan dan terus memelihara kepercayaan, keamanan dan keharmonian antara masyarakat serta terus menyokong usaha-usaha bantuan kemanusiaan untuk orang awam di Gaza.
-Bernama
[ad_2]