[ad_1]
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan membentangkan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi mengelakkan dosa” kerana tidak melaksanakannya.
Menerusi hantaran di Facebook, Wan Fayhsal berpandangan cadangan pindaan itu perlu bagi memulihkan imej Mahkamah Syariah selepas beberapa pihak mencabar kuasanya.
“Saya menyokong penuh pendirian PAS dan PN bahawa pindaan Akta 355 perlu dibentang oleh kerajaan sendiri dalam masa terdekat untuk memastikan dosa tidak menjalankan undang-undang syariah tak jatuh pada semua orang (Islam),” katanya.
Sebaik pindaan itu dibentang, katanya, ahli parlimen boleh membahaskannya dan membuat undian di Dewan Rakyat.
“Sudah tiba masanya ia dipinda untuk memperkasakan mahkamah syariah dengna meningkatkan tahap hukumannya yang tidak cukup hari ini, agar mahkamah syariah dipandang tinggi dan serius oleh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam,” katanya lagi.
Wan Fayhsal yang juga ketua pemuda PN turut memberitahu orang bukan Islam supaya tidak masuk campur dalam hal ehwal agama itu.
Dia berkata undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam, manakala orang bukan Islam boleh merujuk mahkamah sivil.
Justeru, katanya lagi, orang bukan Islam tidak perlu membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan orang Melayu dan Islam.
Wan Fayhsal dipercayai merujuk kepada kenyataan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao Malaysia (MCCBCHST) sebelum ini yang menentang cadangan pindaan itu.
Jumaat lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut memberitahu kumpulan itu supaya tidak mencampuri perkara itu.
Dia mempersoalkan jika majlis itu cuba untuk menjadi ‘penyibuk’ dengan mengulas tentang perkara yang tidak membabitkan orang bukan Islam sama sekali.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar turut menyanggah kenyataan MCCBCHST yang mengatakan cadangan pindaan ke Akta Mahkamah Syariah 1965 tidak berperlembagaan.
Hal itu kerana, katanya, cadangan tersebut tidak boleh ditafsir sebagai mewujudkan undang-undang baru atau sama seperti yang sedia ada dalam Senarai Persekutuan.
[ad_2]