[ad_1]
Seorang lelaki maut manakala adiknya melecur tangan dalam kejadian kebakaran di Felda Tersang Satu, Raub, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dalam kenyataannya berkata, Abd Shukur Abdullah Suhaimin, 46, meninggal dunia di tempat kejadian apabila terjatuh di bahagian belakang rumah ketika menyelamatkan diri.
Katanya JBPM Pahang menerima panggilan kecemasan pada jam 1.42 pagi sebelum seramai 15 anggota dari Balai Bomba Raub dan Sungai Koyan diarahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 38 kilometer.
“Bomba mendapati sebuah rumah jenis sementara berkeluasan 3,520 kaki persegi dan sebuah rumah kekal 3,200 kaki persegi yang terletak bersebelahan antara satu sama lain sedang marak terbakar.
“Dalam kejadian itu, Abd Shukur dilaporkan meninggal dunia apabila terjatuh di bahagian belakang rumah ketika cuba menyelamatkan diri sementara adiknya Abdul Hadi Abdullah Suhaimin, 39, melecur pada bahagian tangan,” katanya.
Menurut Wan Mohammad Zaidi anggota bomba dan pegawai perubatan sudah berusaha memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) bagi menyelamatkan Abd Shukur tetapi gagal.
Adik mangsa yang melecur pula, katanya, dirawat anggota unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).
“Bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada jam 2.51 pagi sebelum api dipadamkan sepenuhnya.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran itu ialah 100 peratus bagi rumah sementara manakala hanya 20 peratus bagi rumah kekal,” katanya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
[ad_2]