Mana-mana pihak yang meragui siasatan polis boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Bebas Tatatelakuan Polis (IPCC), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Azalina berkata demikian susulan terdapat pihak yang meragui siasatan kes seorang anggota pengiring Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang didakwa memukul seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU).
"Bagi negara yang mengamalkan kedaulatan undang-undang seperti Malaysia, tiada sesiapa pun yang melebihi undang-undang dan konsep undang-undang memperuntukkan bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan dianya bersalah.
"Namun demikian, bagi pihak yang meragui siasatan yang dijalankan, mereka boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang telah diwujudkan sebagai langkah alternatif selaras dengan komitmen Karajaan #Madani untuk melindungi hak rakyat terutama golongan rentan,” kata Azalina di laman X.
Ahli Parlimen Pengerang itu turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak terutama kepada Tunku Ismail atas saranan beliau serta saranan Ketua Polis Negara supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dalam kes ini.
Semalam, peguam N Surendran berkata pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan bahawa pemandu e-hailing, Ong Ing Keong telah menandatangani tiga laporan lain yang disediakan oleh polis berhubung dakwaan serangan terhadapnya.
Tiga laporan itu didakwa disediakan polis selepas dia membuat laporan pertama pada 28 Mei lalu, mendakwa dirinya diserang seorang pengiring Tunku Ismail.
Pemuda PKR dan Muda berkata isu itu menunjukkan kerajaan perlu kembali kepada cadangan asal PH untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Akta IPCC 2020 diluluskan oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri pada Julai 2022 dan dilihat secara meluas oleh pengkritik sebagai pengganti bagi Rang Undang-undang IPCMC, yang dicadangkan PH pada 2019.