Adun Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid berkata kepimpinan Ketua Pembangkang Selangor, Azmin Ali semakin lemah selepas seorang Adun pembangkang menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri hari ini.
Danial berkata Adun Selat Kelang, Abdul Rashid Asari menjadi Adun pertama Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
"Prestasi pembangkang semakin lesu jika dilihat pada sidang DUN negeri Selangor yang sedang berlangsung ini, dengan sokongan dinyatakan Adun Selat Klang itu memperlihatkan betapa keyakinan pembangkang terhadap kepimpinan Ketua Pembangkang (Azmin) mula hilang.
Terdahulu, Abdul Rashid berkata dia memutuskan untuk menyokong kerajaan negeri selepas meneliti ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri.
“Ini setelah saya meneliti ucapan DYMM Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Langkah ini juga adalah akibat daripada beberapa siri tindakan Perikatan Nasional terutamanya Perikatan Nasional Selangor yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontar kepada Raja-raja Melayu.
“Ini adalah berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam,” katanya.
Mengulas lanjut, kata Danial, sokongan Abdul Rashid ini akan membantu melonjakkan prestasi negeri dengan mengambil kira pengalaman dan hubungan rapatnya dengan anggota pentadbiran Selangor terutama Amirudin dan barisan Exco.
"Penyertaan Abdul Rashid akan melonjakkan prestasi negeri serta memberikan manfaat yang baik untuk rakyat khususnya di Selat Klang.
"Lanjutan daripada enam orang ahli parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sebelum ini.
"Saya melihat betapa rapuhnya kepimpinan Bersatu yang telah melalui beberapa fasa peralihan serta perbicaraan kes yang sedang berjalan terhadap beberapa pemimpin mereka," katanya lagi.
Sebelum ini, enam ahli parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman ( Labuan).
Pada 2 Mac lalu, Bersatu berjaya meminda perlembagaan parti itu dalam usaha untuk menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah pada masa hadapan.
Perwakilan parti sebulat suara menyokong usul meminda Perkara 10 perlembagaan Bersatu yang menetapkan perkara berkaitan peletakan jawatan dan pemecatan ahli parti.