[ad_1]
Jika empat tahun lepas anak-anaknya berkongsi berita gembira tentang pertemuan ayah mereka di Singapura tetapi hari ini khabar duka pula dikongsikan.
Ali Jais, warga Malaysia yang terpisah dengan tiga anak kandungnya kira-kira 20 tahun ketika itu, telah meninggal dunia di Hospital Pasir Puteh, Kelantan, kira-kira 4 petang tadi.
“Abah pergi ketika saya sedang mengelap badannya. Saya memanggilnya tetapi tiada sahutan.
“Saya panggilkan jururawat dan bila diperiksa saya dimaklumkan Abah sudah tiada,” kata Hasliza, anak sulong, yang menghubungi Bernama untuk menyampaikan berita duka itu.
Menurut Hasliza bapanya yang dibawa ke Kelantan untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di sana dimasukkan ke hospital pada hari raya kedua akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Pencarian anak-anak Ali, sekitar November 2020, telah menarik perhatian warga Singapura yang turut membantu mencari keberadaan warga emas itu.
Pencarian Ali berakhir kurang 24 jam selepas berita berkaitan dirinya dilaporkan koresponden Bernama di Singapura.
Ali, 88, ditemukan di sebuah rumah jagaan warga emas di republik itu.
Walaupun bersedih hanya sempat bersama kira-kira empat tahun sahaja selepas ditemukan, Hasliza dan dua lagi adiknya tetap bersyukur bapanya menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga di Malaysia.
Atas kerjasama baik pihak berkaitan di kedua-dua negara, Ali berjaya dibawa pulang ke pangkuan anak-anaknya sebulan selepas ditemukan sewaktu sempadan Malaysia-Singapura ditutup berikutan pandemik COVID-19 ketika itu.
Ali dijangka dikebumikan pada malam ini.
[ad_2]