Kerajaan belum membuat sebarang ketetapan mengenai cadangan memasarkan beras putih tunggal yang dikenali Beras Putih Malaysia Madani.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata pihaknya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengenai isu berkenaan.
Katanya sebarang keputusan mengenai cadangan berkenaan hanya akan dibuat secara kolektif dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) akan datang.
"Justeru, sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 serta dimaklumkan kepada jemaah menteri," katanya dalam kenyataan pagi ini.
Kenyataan Mohamad itu muncul beberapa hari selepas Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup Naccol, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, mengumumkan pengeluaran Beras Putih Malaysia Madani.
Diuar-uarkan sebagai beras yang mampu dimiliki pada harga lebih rendah, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mendakwa pengeluar beras juga dijangka tidak akan berdepan sekatan untuk mengimport beras putih.
Bagaimanapun semalam wartawan veteran A Kadir Jasin membangkitkan persoalan bagaimana cadangan tersebut - jika dilaksanakan - akan menyaksikan beras tersebut dijual 90 sen lebih tinggi daripada harga kawalan.