Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mempersoalkan sama ada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) ketujuh yang akan diadakan antara 29 Feb hingga 2 Mac ini boleh menjadi inklusif seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan hari ini, dia mendakwa kongres seumpamanya sebelum ini bukan sahaja bertujuan untuk menguntungkan orang Melayu, iaitu elit politik dan birokrasi, tetapi juga untuk meminggirkan orang bukan Melayu.
“Anwar berkata bahawa KEB akan inklusif, kongres yang akan berusaha untuk mengenal pasti kadar pertumbuhan baru dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.
“Wakil bukan Melayu akan dijemput ke kongres itu, nampaknya buat pertama kali dalam sejarah.
"Bolehkah KEB buat pertama kali dalam sejarah negara menetapkan trend untuk memastikan dasar dan langkahnya memberi manfaat kepada semua kumpulan etnik di negara ini. Bolehkah KEB melihat kebangkitan Anwar sebagai negarawan dan bukan sebagai juara kaum?" soal Ramasamy.
Dia mendakwa bahawa KEB yang lalu telah digunakan untuk merangka dasar dan langkah untuk memberi manfaat kepada orang Melayu semata-mata.
"Pada asasnya, istilah Bumiputera mungkin mengelirukan kerana ia hanya merujuk kepada orang Melayu. Adakah KEB akan melihat pengagihan peluang ekonomi dan komersial yang adil kepada semua kumpulan etnik yang layak?
"Anwar tidak boleh menggunakan istilah 'inklusif' tetapi tidak membuat perubahan bermakna kepada kandungan KEB. Malah, KEB pada masa lalu untuk meminggirkan orang bukan Melayu dalam bidang ekonomi dan kewangan," kata Ramasamy.
Ramasamy, yang meninggalkan DAP dan membentuk Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) yang berteraskan Tamil tahun lepas, mendakwa bahawa pertumbuhan ekonomi Melayu adalah bermotif menyekat bukan Melayu dalam bidang ekonomi.
"Memandangkan sokongan Melayu yang semakin merosot kepada kerajaan masa kini, adakah Anwar sanggup mengambil kira penyertaan orang bukan Melayu dalam KEB? Ya, bukan Melayu akan dijemput, tetapi adakah jemputan mereka akan membawa perubahan kepada keputusan perhimpunan itu?
"Adakah Anwar, dengan caranya yang berubah-ubah dan populis, sanggup mengusik ramuan hegemoni Melayu perhimpunan itu? Saya amat ragu bahawa Anwar akan menyumbang dengan cara yang bermakna untuk mengubah watak etnik KEB," kata Ramasamy.
Ramasamy juga mendakwa bahawa KEB kelihatan seperti pentas perhimpunan yang diuruskan oleh Anwar demi menambah baik reputasi politik Umno.