Ahli Parlimen Tanjung Karang Zulkafperi Hanapi - yang kini menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim - berkata usaha Bersatu untuk meminda perlembagaan adalah cubaan untuk menakut-nakutkan enam ahli parlimennya yang berpaling tadah.
Zulkafperi dipetik portal Berita Harian, hari ini sebagai berkata, tindakan sama turut menyasarkan wakil rakyat Bersatu lain yang sedang merancang untuk mengikut jejak langkah sama.
"Apa yang dilakukan ini sebahagian daripada agenda untuk menakut-nakutkan dan menyekat mereka yang berkira-kira untuk mengubah sokongan," katanya pada sidang di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjung Karang di Taman Sahabat, di Tanjung Karang, malam tadi.
Bersatu dijadual meminda perlembagaan semasa perhimpunan agung khas parti itu pada 2 Mac.
Ini susulan selepas enam ahli Parlimen Bersatu berpaling tadah dan menyatakan sokongan kepada Anwar tanpa meninggalkan parti demi mengelak daripada undang-undang anti-lompat digunapakai ke atas mereka.
Selain Zulkafperi, mereka yang lain adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Pada 26 Jan, Syed Abu Hussin mendakwa kira-kira 10 lagi ahli Parlimen Bersatu yang lain dijangka mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar.
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, pada 29 Jan, berkata pihaknya bersetuju untuk meminda Perkara 10 perlembagaan parti bagi memastikan semua wakil rakyat mematuhi ketetapan yang diambil parti.
Zulkafperi menegaskan pindaan itu yang didakwa bakal menjejaskan status dirinya dan lima ahli Parlimen lain, tidak terpakai kepada mereka.
Bagaimanapun, katanya butirannya akan diserahkan kepada peguam untuk diuruskan.
"Perlembagaan yang nak diubah (pada 2 Mac ini) patutnya (babitkan) yang ke depan dan yang ke belakang (sudah berlaku) sepatutnya tidak terikat mengikut keadaan.
"Mereka mungkin boleh ubah apa-apa (yang mereka mahu), tetapi akhirnya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan menetapkan sama ada pindaan tersebut boleh diterima atau boleh dilakukan," katanya lagi.