MCA menyindir DAP kerana “membisu” dan “memeluk tubuh” semata-mata dalam isu kontrak projek pengangkutan Selangor kepada syarikat suami menteri kabinet Hannah Yeoh.
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata pimpinan DAP harus menerima keterbukaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkaitan siasatan kes itu hari ini.
“Ditekankan, sehingga hari ini tiada apa-apa pun komen dari kepimpinan DAP berkenaan isu ini yang sudah pun berlarutan beberapa hari.
“Ini ternyata bercanggah dengan amalan CAT yang dicanangkan oleh kepimpinan DAP sebelum ini iaitu competency (kecekapan), accountability (akauntabiliti) dan transparency (ketelusan),” katanya.
Terdahulu hari ini, Anwar berkata pemberian kontrak pengangkutan kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), yang dikaitkan dengan suami Yeoh, harus disiasat seperti biasa, kata Anwar Ibrahim.
Suami Yeoh, Ramachandran Muniandy (gambar atas sekali) berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Asia Mobiliti.
‘Usah gentar, SPRM’
Dalam kenyataan hari ini, Neow menggesa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tidak gentar menjalankan tanggungjawab kerana Anwar sudah menyatakan pandangan dengan jelas dan tegas.
“...MCA akan berdiri teguh dengan SPRM untuk memastikan kes ini melalui proses yang sewajarnya,” katanya.
Memuji pendirian Anwar, Neow berkata ia menunjukkan Anwar komited dalam membanteras rasuah, penyelewengan kuasa dan bersungguh memastikan pentadbiran kerajaan mengikut tata kelola baik tanpa memilih bulu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki semalam tidak melihat sebarang kesalahan berhubung pemberian kontrak inisiatif Mobiliti Selangor kepada Asia Mobiliti kerana ia bukan diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang diterajui Yeoh.
Bagaimanapun, penjelasan itu tidak memuaskan hati pemimpin pusat Umno Mohd Puad Zarkashi yang membandingkannya dengan kes National Feedlot Corporation (NFCorp) yang dikaitkan dengan menteri parti itu sebelum ini.
Dalam kes itu, Mohamad Salleh Ismail, suami kepada bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Shahrizat Jalil, Salleh Ismail, disiasat dan diheret ke mahkamah.
Bersatu pula mempersoalkan sama ada SPRM “buta” kerana orang ramai pun dapat melihat berlakunya “salah tata kelola, mungkin ada salah guna kuasa, salah guna jawatan, salah guna perhubungan dan jaringan”.
Asia Mobiliti semalam menegaskan pelantikan mereka melalui proses awam hampir setahun lalu dan mendakwa menjadi mangsa serangan kempen atas talian oleh pihak yang tidak dikenali.
Syarikat itu justeru akan mempertimbangkan kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang.