Kumpulan hak asasi Citizen Against Enforced Disappearances (Caged) mendesak Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail agar tidak 'mengabaikan kematian' dua anggota polis di Ulu Tiram, Johor kelmarin.
Dalam kenyataannya hari ini, Caged mengutarakan kebimbangan berhubung dengan apa yang digambarkan sebagai kurangnya simpati awam terhadap mangsa, selain bimbang terhadap kegagalan kerajaan melakukan reformasi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Caged menghormati mangsa insiden Ulu Tiram. Kami menghargai perkhidmatan mereka kepada negara. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mereka.
"Kami berjanji untuk terus menuntut reformasi pasukan polis agar mereka yang mengenakan seragam polis dihormati sebagaimana yang sepatutnya.
"Kami menyeru Saifuddin untuk melakukan apa yang gagal dilakukan oleh semua menteri dalam negeri sejak 2004.
"Kami menyeru beliau merangka dan menerbitkan pelan bagi mengembalikan keyakinan orang awam terhadap PDRM," kata kumpulan itu.
Mengulas lanjutk Caged memetik kes-kes menarik perhatian ramai membabitykan kehilangan secara paksa - Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat - serta keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan kes tembakan tahun 2011 melibatkan seorang pegawai polis sebagai kes pembunuhan.
Pada 16 Jan lalu Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan kematian P Kathir Oli, 31, adalah homisid dan bukannya pertahanan diri seperti didakwa polis sebelum ini.
Dia telah ditembak mati oleh seorang anggota polis di luar sebuah pub di Ipoh, Perak pada 15 Sept 2011.
Caged turut menyatakan selepas keputusan mahkamah itu, peguam keluarga Kathir menulis secara rasmi kepada Pejabat Peguam Negara sebanyak dua kali untuk pihak berkuasa mendakwa pegawai polis terbabit.
"Selama 13 tahun, polis dan pendakwa raya gagal menjaga kepentingan awam.
"Polis telah mencemarkan nama mangsa dan gagal menyiasat serta mendakwa pihak mereka sendiri.
"Sama ada pendakwa raya menuruti atau berkolaborasi dengan polis," kata kumpulan tersebut.
Pada 10 Jan tahun lalu, koroner memutuskan "keputusan terbuka" atas kematian berkenaan bermakna tiada orang didapati ada jawapan berhubung kematiannya.