Dilema Prabowo: Menghadapi Legasi atau Mempertahankan Demokrasi?

Shopee CNY Sale

KOMENTAR | Berdasarkan perhitungan sebenar (real count) terkini pilihan raya Indonesia (Pemilu) 2024 daripada Komisi Pemilihan Umum (KPU), calon presiden dan naib presiden Prabowo Subianto - Gibran Rakabuming Raka mendahului dengan jumlah undi sebanyak 58 peratus, diikuti Anies Baswedan - Muhaimin Iskandar ( 24.1 peratus) dan Ganjar Pranowo - Mahfud MD (17 peratus).

Namun, keputusan di peringkat Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) agak berbeza. Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) yang menyokong Ganjar-Mahfud mendahului kerusi DPR sebanyak 16.8 peratus.

Parti Golkar dan Gerindra (13.42 peratus) yang menyokong Prabowo - Gibran berada di kedudukan kedua dan ketiga tertinggi di DPR sebanyak 15.82 peratus dan 13.42 peratus.

Walaupun tiada keputusan rasmi, Prabowo - Gibran telah mengumumkan kemenangan pasukan ‘Indonesia Maju’ lebih awal berdasarkan kiraan hitungan cepat.

Situasi ini menunjukkan pengaruh 'Jokowisme' yang dibawa Prabowo - Gibran selari dengan aspirasi pengundi Indonesia. Bagaimanapun, timbul juga kebimbangan berlakunya manipulasi dan penipuan dalam Pemilu 2024.

Persoalannya, sejauhmanakah Prabowo - Gibran mampu meneruskan legasi diasaskan Joko Widodo (Jokowi)?

Apakah pula komitmen kedua-duanya dalam bersikap jujur dan wujudnya akauntabiliti dalam proses demokrasi yang memihak kepada pasukan Indonesia Maju?

Kemenangan Prabowo dilihat seolah-olah memberi ruang kepada Jokowi memerintah bagi penggal ketiga.

Bahu Prabowo terbeban dengan aspirasi rakyat yang mahu dia merealisasikan gagasan Indonesia Emas pada tahun 2045 diasaskan Joko Widodo (Jokowi).

Persoalannya, apakah Prabowo rela dibayangi sosok Jokowi dalam satu penggal?

Ini cabaran besar buat Prabowo untuk menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang mempunyai idealisme kendiri dan tidak duduk di bawah bayang-bayang legasi Jokowi. Cuma, apakah Jokowi masih mempengaruhi pentadbiran negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu?

Legasi bawa padah?

Dalam satu artikel Nikkei Asia, Jun Honna, pakar sains politik Indonesia dan ahli akademik Universiti Ritsumeikan, Jepun melihat perebutan kuasa atau ‘power game’ baru antara Jokowi dan Prabowo telah bermula pasca 14 Februari lalu.

Honna menyifatkan Prabowo akan mengakui kemenangan Pemilu adalah hasil usahanya dan menjarakkan diri daripada bayangan Jokowi, khususnya menghadkan peranan Gibran dalam pemerintahannya nanti.

Jika perkara ini berlaku, apakah Jokowi juga akan menjadi pengkritik tegar Prabowo sepanjang penggal?

Cerita meneruskan legasi selalunya akan menimbulkan ketegangan antara pemimpin yang mengasaskan legasi dan pemimpin baharu.

Perkara ini pernah dalam politik Malaysia di antara Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) bermula pada tahun 2004.

Mahathir tidak berpuas hati dengan Pak Lah kerana tidak meneruskan beberapa projek pembangunan yang telah dirancang.

Pada awal transisi tersebut, restu Mahathir untuk memilih Pak Lah sebagai penggantinya telah memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) menang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) 2004.

Kemenangan ini turut disokong dengan manipulasi struktural mengubah sempadan kawasan pilihan raya pada tahun 2003 yang menguntungkan BN berbanding parti pembangkang.

MENARIK:  Meraih Hasil dari Apa yang Kita Tanam

Pun begitu, kemenangan besar ini telah mencetuskan ketegangan. Melalui podcast Keluar Sekejap beberapa episod lepas, Mahathir mengakui dia terkilan dengan Pak Lah yang tidak meneruskan beberapa program pembangunnya selepas menjadi perdana menteri ke-5 negara.

Justeru, dia terus mengkritik dan cuba menggantikan Pak Lah dengan apa cara sekalipun, khususnya selepas BN hilang dominasi di parlimen pada PRU 2008.

Malah, pergeseran terus berlaku apabila pemimpin ‘pilihannya’ untuk menggantikan Pak Lah, Najib Razak, telah melakukan kesalahan tidak berintegriti dalam menguruskan kewangan negara sehingga Mahathir kembali ke gelanggang politik pada PRU 2018 untuk menjatuhkan anak didiknya dan menamatkan dominasi BN.

Ini satu contoh bagaimana kes meneruskan legasi bertukar menjadi salah satu beban kepada negara sehingga menggugat kestabilan dan kemakmuran negara.

Apakah masalah legasi ini akan sama berlaku di Indonesia antara Jokowi dan Prabowo?

Mampukah tegakkan demokrasi?

Laluan Prabowo dan Gibran untuk menduduki Istana Merdeka bukan mudah. Selain isu legasi, sistem demokrasi yang didakwa memihak kepada pilihan Jokowi, telah menjejaskan legitimasi Prabowo - Gibran memenangi Pemilu 2024.

Ini juga memberi ujian besar buat Prabowo yang mempunyai dakwaan rekod buruk mengendalikan demokrasi dan hak asasi manusia sejak Reformasi 1998.

Kini, parti PDIP yang mempunyai jumlah kerusi terbesar di DPR sedang menyusun membentangkan ‘hak angket’ (satu usul khas) di parlimen bagi mengkaji kelemahan dan dakwaan manipulasi Pemilu 2024.

Parti gabungan yang mendukung Anies Beswedan juga dilihat sepakat dengan usaha PDIP ini.

Ada yang melihat 'hak angket' ini tidak produktif kerana ia hanya mengkaji kelemahan Pemilu 2024 dan tidak boleh mengubah keputusan muktamad daripada KPU.

Tetapi, para aktivis dan ahli akademik Indonesia melihat usul ini penting bagi menegakkan keadilan demokrasi yang kelihatan lemah di penghujung pemerintahan Jokowi.

Apakah permulaan Prabowo - Gibran dan agenda Indonesia Emas akan terkesan dengan penyusuan strategi parti lawan?

Apakah Prabowo mampu menyatukan lawannya menjadi sebahagian daripada menterinya seperti yang dilakukan Jokowi? Atau, perebutan kuasa ini akan menonjolkan sifat sebenar kepemimpinan Prabowo yang kurang lunak dengan demokrasi?

Perkembangan politik Indonesia pasca Pemilu 2024 penuh dengan ketidaktentuan. Nampaknya, Prabowo bakal menjadi presiden yang penuh dilema dalam meneruskan legasi Jokowi dan memastikan aturan demokrasi adil untuk semua rakyat Indonesia.

Apakah Prabowo akan mengambil langkah drastik untuk mengatasi isu legasi dan demokrasi ini?

Apakah demokrasi Indonesia juga mampu menghalang manipulasi pemimpin dalam pemerintahan?

Sama-sama kita saksikan.


Datuk M
Datuk Mhttps://murahviral.com
Budaya bersatu, menyatukan warna kehidupan, cerita, dan warisan yang memperkaya kepelbagaian insan manusiawi.

Artikel Berkaitan

SERTAI TELEGRAM GROUP KAMITelegram Group Murah Viral

Instagram

Popular Hari Ini

IKLANShopee CNY Sale