Seorang doktor hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Chukai, Terengganu atas enam pertuduhan menghasilkan pornografi dan melakukan amang seksual sewaktu merawat enam pesakit kanak-kanaknya pada Disember 2022 hingga 26 Jan 2023.
Tertuduh, Dr Anas Ramli, 32, memohon untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Menurut pertuduhan, tertuduh yang kini bertugas di sebuah hospital kerajaan di Kuantan, Pahang didapati menghasilkan pornografi dalam bentuk gambar terhadap lima pesakit perempuannya yang berusia lingkungan 7 hingga 11 tahun ketika merawat mangsa di Hospital Kemaman, di Chukai.
Dr Anas melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang enam sebatan.
Tertuduh juga didakwa atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang pesakit kanak-kanak perempuan yang berusia 12 tahun bagi maksud seksual pada 8 Feb tahun lepas di hospital sama antara 5.45 petang hingga 6.40 petang.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 (a) AKKSTK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan. Ia juga dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang membolehkan tertuduh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan jika disabitkan bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali ketika prosiding memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Faizal Rahman yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah kerana keseluruhan RM120,000 merupakan jumlah yang besar untuk tertuduh yang baru sahaja empat tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.
Hakim Wan Suhaila kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan meluluskan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan selain mengarahkannya melapor diri pada setiap 1 hari bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dibicarakan.
Sementara itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas kesalahan memiliki gambar lucah di dalam telefon bimbitnya yang dilakukan di dalam dewan bedah di hospital sama antara 7.30 pagi hingga 10 pagi pada 1 Nov 2022.
Dia dituduh mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret Sharifah Armida Shasha Amir membenarkan tertuduh dijamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya untuk tidak mendekati mangsa dan saksi sehingga kes selesai.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 21 Mac depan untuk serahan dokumen oleh pasukan pendakwaan dan kakak tertuduh yang hadir ke prosiding berkenaan kemudiannya melunaskan bayaran jaminan tersebut.