[ad_1]
Pemerintah sesebuah negara sama ada yang dipilih oleh rakyat atau golongan monarki tidak terkecuali daripada menerima teguran, kata Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
“Kalau negara ini, pemerintah ada dua. Yang pertama yang dipilih oleh rakyat dan kedua Sultan dan sebagainya.
“Kedua-dua kena terima boleh ditegur, tapi cuma cara dan bahasa yang digunakannya perlu betul,” katanya pada klip rakaman program anjuran PROmediaTajdid yang dikongsi di Facebook, hari ini.
Menjelaskan lanjut, Mohd Asri berkata perlu ada ketertiban dan adab dalam berbuat demikian.
“Teguran itu ada dua atau tiga golongan. Satu pihak yang tegur pemerintah itu kerana dia bantah sebab kena zalim.
“Yang kedua, pihak yang menegur pemerintah itu kerana menganggap ini mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Yang ini tidak ada isu juga sebab macam sahabat-sahabat (Nabi SAW) menegur antara satu sama lain.
“Yang ketiga, dia nak tegur pemerintah itu kerana dia nak bagi runtuh kerajaan.
“Pihak ketiga ini, nak mengambil alih tempat daripada kerajaan yang inilah kadangkala menimbulkan krisis sepanjang zaman,” katanya.
Menurut Asri, pihak yang ingin menegur pemerintah boleh menggunakan perkataan yang tegas tetapi bukan cercaan.
“Apa bahasa patut kita gunakan bila kita tegur, orang awam pun kita tegur kita kena pilih ayat yang patut, ayat tak elok dia akan marah dengan kita.
“Bukan tak boleh guna perkataan yang keras tapi tak boleh maki.
“Perkataan yang tegas dan jelas dalam konteks negara kita, undang-undang sudah ada kita boleh tegur di parlimen tapi pilih perkataan yang baik.
Ceramah politik adun agama
“Tapi, isu peribadi jangan masuk, kamu boleh bahas isu pentadbiran,” katanya.
Tanpa merujuk mana-mana pihak, mufti Perlis berkata dia tidak setuju dengan ceramah politik yang menggunakan perkataan tidak sopan.
“Dulu adanya ceramah politik diadunkan dengan agama, kita pergi dengar kadang perkataan-perkataan (yang digunakan itu) ya Allah.
“Dia tegur pemerintah tapi ayat yang dia gunakan itu, kalau Nabi (Muhammad SAW) ada di tepi baginda pun tak setuju kamu guna ayat macam itu.
“Ini yang masalahnya, pasal apa? Pasal kita nak tegur kita nak ubah dia atau pun kita tegur sebab kita hendak ambil alih tempat dia (kerajaan),” katanya.
“Kita setuju pemerintah boleh ditegur. Kita setuju ulama jangan bacul. Kita setuju pemerintah jangan rasa dia maksum (suci daripada dosa).
“Tapi kita kena bincangkan apakah uslub atau pun pendekatan yang betul dalam hal ini?
“Apakah bahasa yang terbaik yang hendak digunakan?
“Kerana manusia ada perasaan, semua orang ada perasaan,” jelas Asri lagi.
[ad_2]