Malaysia tidak menampilkan negara ini sebagai perantara antara Amerika Syarikat dan Hamas, kata duta besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan.
"Saya tidak mendengar Malaysia menampilkan diri sebagai perantara dan saya rasa kita mempunyai kebimbangan yang kuat," kata Kagan dalam rancangan The Breakfast Grille di stesen radio BFM pagi ini.
Bagaimanapun dia tidak menyebut secara khusus mengenai kebimbangan tersebut.
Menurutnya, Amerika mempunyai hubungan erat dengan Malaysia dan kerajaan negara inni memahami pendapat rakyatnya mengenai peperangan di Palestin.
Pada Mei lalu, Anwar bertemu delegasi Hamas, yang diketuai oleh pemimpin politiknya Ismail Haniyeh, semasa lawatan rasmi tiga hari ke Qatar.
Dia kemudiannya mempertahankan pertemuan itu dengan mengatakan dia dan Ismail telah berkawan sejak sekian lama.
"Adakah ia satu kesalahan (bertemu Haniyeh)? Adakah saya mempromosikan keganasan? (jawapan saya) tidak.
"Saya merayu (kepada Haniyeh supaya mematuhi seruan perdamaian) sebab saya ada kelebihan. Apa kelebihan saya... saya kenal mereka (dan) mereka anggap saya kawan," katanya seperti dilapor BH.
‘AS tak terlibat dalam jenayah perang’
Sementara itu, Kagan menafikan penglibatan AS dalam jenayah perang terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Dia diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar semasa wawancara yang disiarkan Al Jazeera, di mana perdana menteri itu berkata dia tidak boleh menafikan penglibatan AS dalam jenayah perang yang disebutkan.
"Saya rasa jelas kami menolak secara mutlak idea penglibatan dalam jenayah perang.
"Dan saya rasa bahawa idea bahawa AS terlibat dalam jenayah perang adalah sesuatu yang kami tidak setuju," kata Kagan.
Menurutnya, AS dan Malaysia berkongsi matlamat yang sama dalam membawa keamanan kepada konflik tersebut dan menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
"Kami sangat berbangga dengan fakta bahawa sejak 10, 15, 20 tahun yang lalu, AS secara konsisten menjadi penyumbang tunggal terbesar kepada rakyat Palestin," tambahnya.
Dia menggesa agar berhati-hati menggunakan istilah 'genosid' untuk merujuk kepada konflik di Palestin, kerana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai perkara itu menjelaskan bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri.
Sebagai respons kepada jumlah kematian rakyat Palestin, dia berkata AS sangat prihatin mengenai perkara itu.
"Kami telah menggesa semua pihak untuk mengambil langkah yang sesuai untuk mencapai gencatan senjata. Kami berharap Hamas akan mengambil langkah yang sesuai yang akan membolehkan gencatan senjata dan ia jelas berada di tangan mereka," katanya.
Jumlah kematian juga kurang penting berbanding prinsip bahawa orang awam tidak boleh dijadikan sasaran dan Israel mesti mengambil setiap langkah untuk memastikan perkara ini, tambahnya.
Hubungan kukuh di Asia Tenggara
Mengenai ketegangan AS-China, Kagan berkata hubungan negaranya dengan Malaysia dan Asia Tenggara tidak didorong oleh China.
"Kami telah lama mempunyai hubungan yang sangat kuat di rantau ini. Saya rasa anda tahu kami adalah salah satu negara pertama yang mengiktiraf Malaysia dan kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957.
"Kami telah mempunyai syarikat Amerika dan rakyat Amerika menjalankan perniagaan di Malaysia selama lebih dari 130 tahun. Kami membuka konsulat di Pulau Pinang pada tahun 1918.
"Kami membuka konsulat di Kuala Lumpur pada tahun 1947, didorong sebahagiannya oleh keinginan untuk berdiri bersama Malaysia semasa ia menghadapi pemberontakan komunis yang agak kejam dan mencabar," katanya.
Dia juga berkata AS memahami keengganan negara-negara Asia Tenggara untuk terlibat dalam persaingan AS-China.