FGV Holdings Bhd (FGV) mencatat kerugian bersih sebanyak RM13.49 juta pada suku pertama (Q1) tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024, berbanding keuntungan bersih RM12.09 juta tempoh sama setahun lepas, didorong terutamanya oleh kerugian bahagian perladangannya.
Perolehan hasilnya merosot kepada RM4.54 bilion daripada RM4.59 bilion susulan harga purata minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah sebanyak RM3,907 satu tan pada suku semasa, kata kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
FGV yang juga antara pengeluar MSM terbesar dunia, berkata bahagian perladangannya mencatat kerugian sebanyak RM62.14 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 berbanding keuntungan berjumlah RM58.32 juta pada suku sama tahun lepas.
Ini berikutan penurunan itu disebabkan terutamanya oleh peningkatan ketara caj nilai saksama perjanjian pajakan tanah (LLA) yang melonjak kepada RM86.04 juta daripada RM32.16 juta pada suku sama tahun kewangan 2023.
FGV berkata tanpa mengambil kira caj nilai saksama LLA itu, bahagian berkenaan mencatat keuntungan lebih rendah sebanyak RM23.90 juta daripada RM49.64 juta dalam suku sebelumnya, susulan penurunan pengeluaran tandan buah segar yang susut kepada 740,000 tan daripada 1.05 juta tan.
“Berikutan itu, hasil susut kepada 2.88 tan sehektar daripada 3.91 tan sehektar pada suku sebelumnya selain peningkatan kos operasi estet ggi sebanyak 13 peratus.
"Selain itu, kadar perahan minyak yang dicatatkan pada suku semasa juga lebih rendah sebanyak 20.59 peratus daripada 21.07 peratus pada suku sebelumnya," katanya.
Selain itu, FGV berkata sebahagian daripada penyusutan keuntungan itu dapat diimbangi oleh peningkatan prestasi bahagian gula dan minyak serta lemak pada suku semasa.
Mengulas prestasi bahagian gula kumpulan, ia berkata susulan kerja-kerja pembaikan di loji penapis MSM Johor, bahagian berkenaan dijangka meningkatkan faktor penggunaannya melebihi 50 peratus.
“Peningkatan ini akan mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan keuntungan secara keseluruhan bahagian. Usaha pembaikan itu akan turut membolehkan bahagian berkenaan memenuhi permintaan dan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran eksport,” katanya.
Bagi kemajuan masa depan, FGV mengunjurkan julat harga MSM bagi 2024 pada RM3,800 hingga RM4,000 satu tan yang merupakan potensi daripada kesan fenomena cuaca La Nina di penghujung tahun yang boleh menjejaskan pengeluaran.
Bagaimanapun, katanya, kalangan pengiat industri minyak sawit menjangkakan MSM kekal di paras melebihi RM3,800 satu tan dalam separuh pertama 2024, sebelum mereda seiring pemulihan bermusim.
“Kumpulan menjangkakan prestasi memuaskan dalam tahun kewangan 2024 yang sejajar dengan unjuran pergerakan harga MSM,” katanya.