Lebih 40 peratus penduduk Asia Tenggara percaya masyarakat antarabangsa harus menyokong gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan memberi keutamaan kepada bantuan kemanusiaan dalam konflik Israel-Hamas yang sedang berlangsung, menurut laporan tinjauan pada Selasa.
Tinjauan bertajuk “The State of Southeast Asia 2024” oleh ASEAN Studies Centre (ASC) di ISEAS - Yusof Ishak Institute yang dijalankan dari 3 Jan hingga 23 Feb dan melibatkan 1,994 penduduk Asia Tenggara mendapati bahawa sentimen itu tersebar luas di seluruh negara ASEAN kecuali Brunei.
Brunei yang menyokong sokongan antarabangsa untuk penentuan nasib sendiri rakyat Palestin, juga mewakili pandangan kedua paling popular di rantau berkenaan iaitu 17.5 peratus.
Penduduk lain di Asia Tenggara percaya masyarakat antarabangsa harus menyokong penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya penyelesaian (16.2 peratus), menggalakkan dialog mengenai penyelesaian yang berpotensi (14.6 peratus) dan menyokong Israel tanpa syarat (5.8 peratus) manakala 4.6 peratus berpandangan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh campur tangan dalam konflik itu.
Konflik Israel-Hamas muncul sebagai kebimbangan geopolitik utama di rantau itu (46.5 peratus), diikuti oleh tingkah laku agresif di Laut China Selatan (39.9 peratus), konflik Rusia-Ukraine dan operasi penipuan global (kedua-duanya 39.4 peratus) serta lain-lain.
“Walaupun jauh dari segi geografi, konflik ini memberikan kesan yang kuat di seluruh rantau berkenaan yang pelbagai dari segi etnik dan agama,” menurut laporan itu.
Sementara itu, kira-kira 30 peratus responden menyatakan kebimbangan bahawa konflik itu akan menggalakkan peningkatan aktiviti pelampau sekali gus memberi kesan kepada keselamatan domestik dan serantau.
Responden lain percaya konflik itu berkemungkinan mengurangkan kepercayaan kepada undang-undang antarabangsa dan perintah berasaskan peraturan (27.5 peratus), menghakis perpaduan sosial domestik disebabkan oleh perpecahan agama (17.5 peratus), perpecahan ASEAN yang lebih besar (15.4 peratus) manakala hampir 10 peratus berpendapat ia tidak memberi kesan kepada rantau ini.
Laporan itu juga menunjukkan bahawa 43.1 peratus responden mempunyai pendapat neutral terhadap pendirian kerajaan mereka mengenai konflik itu, diikuti dengan setuju (26.4 peratus), sangat setuju (16.5 peratus), tidak setuju (9.2 peratus) dan sangat tidak setuju (4.9 peratus).
Majoriti responden Malaysia menyetujui pendirian kerajaan mengenai isu tersebut dengan gabungan 48.6 peratus yang memilih 'setuju' dan 'sangat setuju.'
Sementara itu, 41.8 peratus penduduk Asia Tenggara melahirkan kebimbangan bahawa serangan Israel ke atas Gaza telah melampaui batas, dengan Brunei (79.2 peratus), Indonesia (77.7 peratus) dan Malaysia (64.4 peratus) amat mengambil berat di peringkat negara.
Dekan Lee Kuan Yew School of Public Policy, National University of Singapore, Prof Danny Quah berkata masa depan konflik Israel-Hamas akan memberi kesan mendalam terhadap persepsi penduduk Asia Tenggara terhadap tatanan dunia.
“Terdapat lebih suku bilion umat Islam di Asia Tenggara dan hampir kesemua mereka sangat terkesan dengan apa yang mereka lihat di Gaza dan penderitaan rakyat Palestin yang tidak bersalah.
“Ini akan memberi kesan jangka panjang yang besar terhadap pandangan orang biasa mengenai kedaulatan undang-undang antarabangsa, pemeliharaan ketenteraman berasaskan peraturan,” katanya.