Kerajaan menetapkan RM599 sebagai harga maksimum tiket penerbangan sehala kelas ekonomi dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tempoh perjalanan tiga hari menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia antara lain bagi membantu melancarkan percutian orang ramai balik beraya ke kampung halaman masing-masing pada April nanti.
“Memang kita ada dasar untuk semua perayaan, sama ada Tahun Baru Cina, Aidilfitri, Gawai, Keaamatan dan Krismas.
"Tiga hari sebelum raya, kerajaan akan tetapkan harga maksimum itu. Dalam semenanjung tiada harga maksimum sebab ada mod pengangkutan lain seperti bas dan kereta api.
“Kalau yang beli awal (tiket penerbangan) mungkin dapat harga lebih murah, tapi kalau ada kekurangan tiket maka harga akan melambung.
"Sebarang kenaikan daripada RM599 akan ditampung menerusi subsidi kerajaan dalam tempoh tiga hari tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pecah tanah bangunan baru bertingkat sebuah sekolah di Jelebu, Negeri Sembilan hari ini.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata bagaimanapun kementerian akan meminta pandangan semua pihak termasuk menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk mengetahui tarikh sambutan sebenar Aidilfitri sebelum penetapan harga tiket itu dilaksanakan.
“Saya difahamkan raya tahun ini mungkin Rabu (12 April) atau lebih awal, kita anggarkan tahun ini waktu puncak (orang pulang) adalah pada Sabtu (9 April) dan Ahad (10 April) sebelum raya.
"Jadi penetapan kita mungkin pada hujung minggu tersebut, itu anggaran tapi kita kena dapatkan pandangan lagi,” katanya.
Sementara itu, Loke yang juga Adun Chennah berkata syarikat penerbangan turut menyediakan penerbangan tambahan selain ada yang menawarkan harga tetap untuk penerbangan tertentu pada waktu malam.
“Umpamanya AirAsia, mereka ada tawarkan harga tetap yang murah untuk penerbangan pada waktu malam, hanya beberapa penerbangan khas setiap hari, itu akan dilancarkan pada Mac nanti, “ katanya.
Ditanya mengenai terdapat individu yang menyewa helikopter untuk pulang ke kampung halaman pada musim perayaan, Loke berkata perkara itu belum menjadi norma masyarakat namun sebarang bentuk penerbangan mesti didaftarkan kepada pihak berkaitan.