Ketua Komuniti Penduduk Kampung Sri Makmur Mohd Azhar Ariff, 35, berkata pihaknya menyahut cabaran Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bagi membuktikan bahawa mereka adalah penduduk asal kampung tersebut.
Dia mengulas kenyataan Amirudin yang meminta baki penduduk yang terjejas membuktikan bahawa mereka adalah penduduk asal yang wajar mendapat penempatan semula.
"Kami menyahut cabaran Menteri Besar dan kini sedang mengumpulkan segala dokumen dan bukti seperti yang diminta.
Sebelum ini, media melaporkan hanya 21 keluarga mendapat tawaran pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan cek pampasan sebanyak RM1,000.
Pada Khamis lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata baki keluarga yang mendakwa terkesan dengan perobohan rumah di Kampung Sri Makmur, Gombak, Isnin lalu perlu membuktikan mereka adalah penduduk asal yang wajar mendapat penempatan semula selain tidak mendapat pampasan daripada mana-mana pihak.
Amirudin turut memaklumkan bahawa banyak peluang telah diberikan kepada penduduk kampung berkenaan sejak tiga tahun lepas.
Tambahnya, antara sebab tindakan perobohan itu dilakukan ialah banyak kehadiran warga asing mendiami kawasan tersebut.
Bukan tugas penduduk halang warga asing
Menjelaskan situasi sekarang, Mohd Azhar berkata walaupun sebahagian penduduk telah berpindah dan menumpang rumah saudara masih terdapat penduduk yang terpaksa tinggal di dalam kenderaan dan membuka khemah bersebelahan tapak kampung yang telah dirobohkan.
"Ada yang tinggal dalam van, pasang khemah di tepi semak. Mereka ini kebanyakannya ada kekangan kewangan untuk menyewa rumah lain. Jadi, kita boleh kata sekarang ini mereka umpama merempat," katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Komuniti Penduduk Kampung Sri Makmur, Ibrahim Din menjawab dakwaan pihak luar mengenai kebanjiran warga asing yang mendiami kampung itu.
Katanya, walaupun mengakui mengenai perkara tersebut namun hal itu tidak sepatutnya ditujukan kepada penduduk sebaliknya ia adalah tanggungjawab pihak berkuasa.
"Memang ada (warga asing) yang menyewa tapi peratusannya kecil, lebih kurang 10 peratus. Kami tak ada kuasa menghalang mereka (menyewa) di sini.
"Kita ada pihak berkuasa, patutnya itu tugas mereka," tambahnya.
Mengulas lanjut, Azhar berkata kumpulan penduduk antaranya menuntut kerajaan Selangor memberikan sebuah rumah gantian selain kos pemindahan rumah sebanyak RM10,000.
"Tapi harapan besar kami adalah untuk pihak kerajaan berunding dengan kami, tapi perkara itu tidak berlaku," katanya lagi.
Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak pada satu kenyataan hari ini berkata tindakan pengusiran dan perobohan penempatan setinggan yang menceroboh tanah hak milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 27 dan 28 Mei lepas itu dibuat mengikut prosedur.
PDT Gombak memaklumkan perobohan itu berdasarkan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Mei 2024.
Terdahulu, kerajaan Selangor telah menawarkan pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan sagu hati 'ex-gratia' sebanyak RM1,000 kepada 21 buah keluarga yang merupakan penduduk asal berdasarkan bancian pada 2006 dan 2016 mengikut senarai PTG Gombak.