Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir memberitahu isu program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks di Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dibincangkan pada mesyuarat kabinet hari ini.
"Saya telah diminta untuk menjelaskan kepada kabinet sementara ketiadaan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad yang kini berada di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 (WHA77), Geneva," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Kata Zambry, menteri kesihatan akan membentangkan pada mesyuarat akan datang cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 bagi membolehkan beberapa masalah berbangkit dapat diselesaikan termasuklah mendaftarkan pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran Parallel Pathway.
"Sehubungan dengan itu, kertas cadangan secara komprehensif telah disediakan dan akan dibentangkan oleh YB Menteri Kesihatan kepada kabinet pada 5 Jun 2024," katanya.
Pada mesyuarat kabinet hari ini, Zambry berkata dia telah memaklumkan dua isu pokok berkaitan kemelut Program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran (Parallel Pathway) bidang pembedahan kardiotorasik.
"Pertama, isu pengiktirafan latihan kepakaran Parallel Pathway yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.
"Kedua, isu pendaftaran pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran Parallel Pathway dalam Daftar Pakar (National Specialist Register – NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC)," katanya.
Dia berkata kedua isu ini telah dibawa dalam mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada April lalu bagi mencari penyelesaian.
"Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, isu pengiktirafan pelajar kardiotorasik dan tuduhan membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan bumiputera adalah dua isu yang berbeza,” katanya.
Isu utama, kata Zambry adalah tiada pengesahan dan pengiktirafan daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kepada kumpulan pelajar ini.
"Selain daripada UiTM yang sedang menjalankan Program Sarjana Sains Surgeri (Kardiotorasik), universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM) sedang dalam proses mendapatkan Perakuan Akreditasi untuk kursus ini sebelum ditawarkan dalam masa terdekat," katanya.
Malaysia menghadapi kekurangan pakar perubatan termasuk pakar bedah kardiotoraks.
Tiga pusat Kementerian Kesihatan di Kota Bharu, Kuantan dan Kota Kinabalu masing-masing hanya mempunyai seorang pakar bedah kardiotoraks.
UiTM ialah satu-satunya universiti yang menawarkan program Parallel Pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks, yang merangkumi pembedahan dan penjagaan penyakit jantung dan paru-paru.
Pada 25 April, portal kesihatan Codeblue melaporkan ahli lembaga program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar berkata universiti itu bersetuju membuka kursus itu kepada bukan bumiputera.
Persatuan Perubatan Malaysia sebelum ini berkata UiTM perlu membenarkan kemasukan bukan bumiputera yang mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotoraks, memandangkan pelajar antarabangsa boleh mendaftar untuk program berkenaan.
Menteri pengajian tinggi sebelum ini berkata belum ada perbincangan mengenai kebenaran kemasukan bukan bumiputera dalam program tersebut.
Pelajar UiTM kemudiannya membantah kemasukan pelajar bukan bumiputera dengan kempen memakai baju hitam.
Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Saleh turut menyuarakan bantahan terhadap cadangan itu.
“Jangan ganggu UiTM, UiTM kekal milik bumiputera dulu, kini dan selamanya,” tegasnya.
Naib Canselor UiTM Shahrin Sahib berkata universiti itu tetap mempertahankan Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang hanya membenarkan kemasukan pelajar bumiputera.
Bagaimanapun, katanya, UiTM akan menerima sebarang keputusan kerajaan dengan restu Yang di-Pertuan Agong sekiranya perkara itu berbangkit atas keperluan negara.
Sementara itu, sebelum isu berkenaan mencetuskan kontroversi, terdapat isu berasingan mengenai pakar yang lulus dari program parallel pathway tidak dapat mendaftar untuk menjalankan praktik mereka.
Empat graduan yang memperoleh kelayakan Fellowship of Royal Colleges of Surgeons Edinburgh (FRSC Ed) untuk pembedahan kardiotoraks diberitahu mereka tidak boleh mendaftar sebagai pakar dan mengamalkan kepakaran di negara ini.
Ini kerana Majlis Perubatan Malaysia tidak mengiktiraf kelayakan FRCS Ed menyebabkan Kementerian Kesihatan memberi maklum balas untuk meminda Akta Perubatan bagi menyelesaikan perkara itu.