Jabatan Perhutanan Perak mengeluarkan notis arahan pembekuan kelulusan permit memasuki empat hutan simpan kekal (HSK) di daerah Hulu Perak bagi tujuan rekreasi berkuat kuasa serta-merta.
Pengarahnya Datuk Basri Abdul Manaf berkata tempoh pembekuan itu selama tiga bulan bermula semalam hingga 15 Jun depan bagi tujuan penguatkuasaan dan kawalan terhadap sumber hutan.
Beliau berkata hutan yang terlibat adalah Hutan Simpan Amanjaya, Hutan Simpan Banding, Hutan Simpan Temengor dan Hutan Simpan Gerik.
"Kesemua pemberian Permit Memasuki Hutan Simpan Kekal bagi tujuan rekreasi seperti aktiviti pacuan empat roda, 'motorcross', basikal lasak, memancing dan lain-lain lagi kita telah bekukan sejak semalam.
"Sebarang ketidakpatuhan terhadap arahan ini adalah di atas risiko sendiri dan boleh disabitkan mengikut Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985," katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.
Terdahulu media melaporkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang tular di media sosial apabila menggunakan bahan letupan bagi tujuan menangkap ikan termasuk kelah iaitu spesies ikan dilindungi di kawasan pertemuan Kuala Sungai Mangga dan Sungai Senga, Hutan Simpan Temengor, Hulu Perak.
Exco Perak lapor polis
Perbuatan itu didakwa dilakukan sekumpulan individu yang sedang melakukan aktiviti berkaitan pacuan empat roda di kawasan hutan simpan itu hingga membangkitkan kemarahan orang ramai.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed (gambar atas) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temengor membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik hari ini.
"Saya berasa amat sedih dan kecewa atas sikap dan kejadian yang tidak boleh diterima ini kerana ia merosakkan ekosistem ikan kelah yang merupakan spesies dilindungi.
"Kita menentang sekeras-kerasnya aktiviti seumpama ini dan menjadi keutamaan saya untuk kekang perkara seperti ini daripada berulang," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.