Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas kelindan lori daripada pertuduhan membakar 34 motosikal di parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, dua tahun lepas.
Hakim Norina Zainol Abidin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Saiful Adey Mohd Noor, 36, di akhir kes pendakwaan.
“Setelah mendengar keterangan saksi pendakwaan dan meneliti hujahan pembelaan serta pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.
Mohd Saiful Adey yang duduk di kandang tertuduh dengan tangannya bergari dilihat gembira selepas keputusan itu.
Prosiding dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn dan peguam M Soosai Raj yang mewakili Mohd Saiful Adey.
Perbicaraan kes itu bermula 5 Okt tahun lepas dengan lima saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan.
Pada 30 Sept 2022, Mohd Saiful Adey mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan cecair mudah terbakar iaitu petrol, sehingga menyebabkan motosikal terbabit hangus terbakar di parkir Blok G, PPR berkenaan, pada 2.21 pagi, Julai 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.