Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kerajaan mengambil pendirian untuk terus mengekalkan sekolah vernakular yang diiktiraf di bawah Akta Pendidikan.
Dalam sidang media hari ini, Fadhlina berkata, dia mengambil maklum ramai pihak memberi pendapat mengenai isu sekolah berkenaan.
"Kita mendengar pandangan tersebut tetapi untuk hari ini, pendirian kita adalah untuk berdiri tegak dan juga memperkukuhkan Akta Pendidikan.
"Sekolah vernakular juga diiktiraf oleh Akta Pendidikan dan kita akan teruskan," katanya kepada pemberita di sebuah sekolah di Puchong, ketika pelajar memasuki hari pertama persekolahan bagi sesi 2024/2025.
Kenyataan itu dibuat selepas Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem pendidikan vernakular di negara ini.
Akmal sebelum ini menegaskan kepentingan menyuburkan semangat nasionalisme dalam kalangan pelajar di samping meningkatkan penguasaan mereka dalam bahasa Melayu.