Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengecam hantaran palsu yang mendakwa bekas ahli parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dibayar sebagai penasihat Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).
Dalam catatan di platform media sosial X, kementerian itu berkata bahawa dokumen perjanjian yang disiarkan itu adalah draf surat tawaran yang tidak sah.
"Perjanjian yang sah yang telah ditandatangani oleh Nurul Izzah adalah untuk memberi khidmat nasihat kepada Laksana secara ‘pro bono’ atau tanpa mengambil imbuhan kewangan mahupun sebarang faedah, seperti yang telah dimaklum kepada umum," katanya.
Semalam, Nurul Izzah berkata dia akan membuat laporan polis terhadap hantaran media sosial yang berunsur fitnah terhadapnya.
Dalam catatan di Facebook, anak perdana menteri itu berkata peguamnya akan membuat laporan polis bagi pihaknya pagi ini sebaik sahaja mereka selesai cuti Tahun Baru Cina.
Menurut laporan The Star, seorang pengguna Facebook telah memuat naik posting yang mendakwa Nurul Izzah telah dilantik sebagai penasihat Laksana dengan gaji RM35,000.
Tahun lepas, Anwar melantik Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan. Jawatan itu tidak bergaji.
Dia kemudiannya mempertahankan keputusan itu selepas ditanya sama ada Nurul Izzah - yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan - layak menjadi penasihat ekonomi dan kewangan.
Anwar ketika itu juga berkata bahawa Nurul Izzah juga mempunyai ijazah kedua dalam dasar awam dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies.
Laksana ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan untuk memantau pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi Malaysia 2020 berjumlah RM20 bilion.