[ad_1]
Kerajaan hari ini memberi amaran kepada majikan yang membawa masuk pekerja asing ke negara ini supaya membayar pekerja mereka, walaupun tidak diberi kerja.
Bercakap pada sidang media, Menteri Sumber Manusia Steven Sim memberi amaran kepada majikan yang ingkar bahawa kegagalan membayar gaji adalah pelanggaran undang-undang buruh negara.
“Pekerja berhak ke atas gajinya walau kerja tidak dilakukan. Justeru itu menjadi pendirian kita lepas ini, kementerian akan anggap pekerja yang masuk ke Malaysia, dia wajib diberi gaji sama ada kerja atau tidak,” katanya semasa sidang media di Putrajaya petang ini.
Sim berkata keputusan itu dicapai semasa mesyuarat jawatankuasa bersama pengurusan pekerja asing antara Kementerian Sumber Manusian dan Kementerian Dalam Negeri yang diadakan awal hari ini.
Pada 20 Dis tahun lepas, 171 pekerja asing dari Bangladesh berarak kira-kira 10 kilometer ke balai polis Bayu Damai di Pengerang, Johor untuk membuat laporan terhadap ejen mereka yang gagal mendapatkan pekerjaan selepas tiga bulan di negara ini.
Kumpulan itu bagaimanapun telah ditahan oleh Jabatan Imigresen sebelum mereka boleh membuat laporan. Mereka telah dibebaskan dari tahanan.
Susulan kejadian itu, Sim berkata, kementerian juga telah menggunakan beberapa pendekatan baru bagi mengelak pelanggaran tersebut berulang.
Syarikat yang didapati melanggar undang-undang akan dibekukan kuota pekerja asing dan disenarai hitam.
Mengulas kebimbangan mengenai spekulasi dalang yang melindungi individu di sebalik syarikat yang ingkar, kerajaan juga akan mengambil tindakan terhadap pengarah dan pengurus yang terlibat di bawah Seksyen 101(b) Akta Pekerjaan.
“Jadi tindakan akan diambil terhadap pengarah dan pengurus dan bukannya entiti syarikat sahaja,” katanya.
Sementara itu, mengenai kes di Pengerang, Sim memberitahu pemberita bahawa 571 pekerja Bangladesh telah memfailkan tuntutan gaji mereka yang tidak dibayar kepada Jabatan Tenaga Kerja setakat ini.
Ia melibatkan sejumlah RM2.21 juta gaji yang belum dibayar.
Bagi kes ini, Sim berkata Mahkamah Buruh menetapkan 5 Feb ini untuk perbicaraan di Pengerang.
[ad_2]