Kalangan pelabur asing mengekalkan aliran belian bersih di Bursa Malaysia dengan mencatat aliran masuk dana sebanyak RM352.9 juta, belian bersih bagi minggu keempat berturut-turut, demikian menurut Midf Research.
Dalam laporan aliran dana untuk minggu berakhir 16 Februari 2024 yang dikeluarkan semalam, cabang penyelidikan Midf Investment Bank Bhd itu berkata, Selasa lalu menyaksikan aliran masuk dana tertinggi sebanyak RM193 juta.
Sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM143.6 juta), telekomunikasi dan media (RM95 juta) serta teknologi (RM61.4 juta).
Sementara itu, sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi meliputi utiliti (-RM29 juta), unit amanah pelaburan hartanah atau Reit (-RM19.1 juta) dan pembinaan (-RM16.3 juta).
Midf Research berkata, bagi minggu kedua berturut-turut, peruncit tempatan terus konsisten dari segi corak jualan bersih ekuiti domestik dengan jumlah jualan mencecah RM75.5 juta pada minggu lalu.
Dari segi penyertaan, Midf Research berkata purata jumlah dagangan harian dalam kalangan peruncit dan institusi tempatan meningkat iaitu masing-masing pada 12.1 peratus dan 15 peratus manakala pelabur asing susut 11.4 peratus.
Bagi aliran masuk dana ke Asia, pemantauan bank pelaburan itu ke atas lapan pasaran ekuiti Asia menunjukkan pelabur asing mengekalkan jualan bersih pada AS$3.4 bilion dengan aliran masuk asing yang signifikan menumpukan Taiwan dan Korea Selatan.