Kumpulan pembikin filem sosial Freedom Film Network (FFN) membidas pertuduhan jenayah yang difailkan terhadap pengarah dan penerbit Mentega Terbang, menyifatkannya sebagai berlebihan.
Dalam satu kenyataan malam ini, kumpulan itu berkata menggesa kerajaan untuk segera menggugurkan pertuduhan terhadap pengarah Mohd Khairianwar Jailani dan penerbit Tan Meng Kheng.
“FFN mengecam sekeras-kerasnya gangguan berterusan terhadap pembikin filem, yang didakwa dengan sengaja menyinggung perasaan agama orang lain di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
"Pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Ini berlaku selepas filem mereka, Mentega Terbang diharamkan oleh KDN pada September 2023 dan diturunkan daripada platform penstriman Viu pada Mac 2023," kata FFN .
Khairianwar, 31, didakwa melakukan kesalahan itu sebagai pengarah dan penulis skrip filem itu pada 26 Feb tahun lepas, manakala Tan, yang juga seorang guru, didakwa melakukan kesalahan itu atas kapasitinya sebagai penerbit filem kontroversi itu pada tarikh yang sama.
FFN berkata bahawa mengenakan pertuduhan jenayah terhadap pembikin filem untuk filem fiksyen, terutamanya yang diilhamkan oleh pengalaman hidup, adalah keterlaluan dan tidak seimbang.
"Tiada bukti bantahan awam berterusan dan filem itu diharamkan pada September 2023. Reaksi kerajaan terlalu menekankan peranan filem dalam mempengaruhi orang ramai.
"Ibu bapa, persekitaran rumah dan guru memainkan peranan yang lebih penting daripada filem dalam membentuk pandangan dunia seseorang. Bagaimanapun, filem dan pembikin filem nampaknya satu-satunya yang dihukum dan dijenayahkan kerana pengaruh negatif mereka terhadap nilai sosial.
"Ini meletakkan tanggungjawab yang tidak adil dan membebankan pembikin filem untuk menjadi kompas moral negara," katanya.
Pendekatan kerajaan mengharamkan filem itu dan kini menjenayahkan pembikin filem adalah satu bentuk kawalan kandungan kuno, kata FFN, sambil menegaskan bahawa dalam era digital hari ini penonton terdedah kepada semua jenis kandungan dan adalah mustahil untuk benar-benar mengharamkan mana-mana media.
"Untuk membina keharmonian beragama, kita memerlukan komunikasi terbuka, dialog dan ruang selamat untuk berkongsi perspektif berbeza untuk memahami antara satu sama lain. Mengikut pengalaman kami, Mentega Terbang adalah alat yang sangat baik untuk memupuk perbincangan sedemikian.
"Penonton yang kami jumpa berkata mereka memahami dan menghargai agama lain dengan lebih baik selepas menonton filem itu dan boleh mengaitkan diri merkea dengan pengalaman watak utama. Namun, pengalaman positif sebegitu dengan filem itu tidak diambil kira oleh pihak berkuasa.
"Adalah lebih produktif untuk pembinaan negara memperkasakan rakyat dengan kemahiran memproses, mengemudi dan berkongsi kandungan ini secara rasional dan bertanggungjawab. Ini amat penting dalam masyarakat berbilang budaya dan agama seperti Malaysia. Menutup sebarang perbincangan mengenai filem ini tidak membolehkan kita mengembangkan kemahiran ini," katanya.
Kumpulan itu memberi amaran bahawa tindakan ini akan menjejaskan industri filem tempatan.
“Pengiktirafan antarabangsa terhadap filem seperti Tiger Stripes, Abang Adik, Maryam Pagi Ke Malam dan Pendatang telah menimbulkan minat di Malaysia sebagai tempat untuk kandungan baru dan menarik.
“Ini berpotensi untuk membawa pelaburan yang amat diperlukan ke dalam industri filem kita.
"Bagaimanapun, pertuduhan hari ini memberi isyarat bahawa pembikin filem tidak dilindungi di Malaysia dan pembikinan filem sebenarnya adalah profesion yang berbahaya. Ini akan memberi kesan yang menakutkan pelabur daripada industri," kata FFN.
“Kami menyeru kerajaan untuk segera dan tanpa syarat menggugurkan pertuduhan terhadap kedua-dua mereka.
“Kami juga menggesa kerajaan Madani untuk memansuhkan dan meminda peruntukan dalam Akta Penapisan Filem, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Kanun Keseksaan seperti Seksyen 298 dan Seksyen 505(b) yang menjenayahkan hak perlembagaan untuk kebebasan bersuara.
"Jika Malaysia benar-benar menjadi masyarakat yang bertamadun dan inklusif yang dibayangkan dalam wawasan Malaysia Madani, maka kita memerlukan lebih banyak cerita bukan penapisan," kata FFN.