Dr Mahathir Mohamad telah berkhidmat dua kali sebagai perdana menteri selama 24 tahun, dan banyak dasar telah dilaksanakan semasa pentadbiran itu.
Namun, ada keputusannya itu dipertikaikan setelah terbukti kontroversi dan menjadi penelitian suruhanjaya siasatan diraja (RCI).
Misi pencarian fakta ad-hoc ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong - lazimnya dengan nasihat daripada perdana menteri - di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan mempunyai kuasa yang luas untuk menyiasat perkara dalam bidang rujukan mereka.
Minggu lalu, kerajaan mengumumkan RCI akan ditubuhkan untuk menyiasat isu kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
BACA LANJUT: Bagaimana Malaysia hilang kedaulatan Pulau Batu Puteh?
Skop RCI ini masih belum jelas, tetapi sekali tumpuan adalah kepada Mahathir.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu esok, tidak merahsiakan kekecewaannya terhadap keputusan kerajaan Mahathir pada 2018 untuk tidak meneruskan semakan isu itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Berikut adalah senarai ringkas RCI terdahulu yang berkaitan dengan dasar dan keputusan Mahathir.
Mata lebam Anwar
Pada tahun 1998, Anwar Ibrahim yang tidak lagi serasi dengan Mahathir disingkirkan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan. Dia kemudiannya ditangkap.
Apabila dihadapkan ke mahkamah pada 29 Sept 1998 untuk berdepan pertuduhan liwat dan salah guna kuasa, Anwar muncul dengan mata lebam dan memberitahu mahkamah dia dipukul hingga pengsan semasa berada di lokap polis Bukit Aman pada 20 Sept.
Ketua polis negara ketika itu, Abdul Rahim Noor, pada mulanya berbohong dengan mendakwa bahawa Anwar adalah selamat dan kecederaan itu adalah perbiatannya sendirinya.
Laporan siasatan dalaman polis mengesahkan bahawa Anwar dipukul semasa dalam tahanan polis tetapi gagal menemui dalangnya. Alasannya, adalah pegawai penyiasat tidak dapat menemu bual pegawai atasannya.
Hanya selepas RCI ditubuhkan untuk menyiasat kecederaan Anwar, barulah Rahim, yang memberi keterangan kepada suruhanjaya itu pada 2 Mac 1999, mengaku menampar Anwar dan menyebabkan dia terjatuh di lantai simen di bilik kurungannya. Katanya, dia tidak ingat sama ada Anwar juga terus dipukul meskipun Anwar ketika memberi keterangan mendakwa dirinya menerima lebih banyak pukulan.
Prosiding mahkamah berasingan menjatuhkan hukuman penjara dua bulan ke atas Rahim kerana mengasari Anwar. Dia juga memohon maaf kepada Anwar sebagai sebahagian daripada penyelesaian.
Pada 2018, Mahathir mendedahkan bahawa dia marah dengan pihak polis pada 1998 kerana tidak mengheret Anwar ke mahkamah.