SPRM telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa bekas menteri kewangan Daim Zainuddin di mahkamah di bawah Akta SPRM sejak minggu lalu, menurut Azam Baki.
Bagaimanapun, ketua pesuruhjaya SPRM berkata mereka masih belum dapat meneruskan pendakwaan kerana Daim berada di hospital atas sebab kesihatan yang tidak dinyatakan.
“Kami dapat kelulusan untuk mendakwa Daim sejak seminggu lalu.
“Apabila pegawai penyiasat memaklumkan peguamnya bahawa Daim perlu hadir ke mahkamah, peguam itu beritahu SPRM bahawa Daim telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta.
"Kami buat semakan, dan Daim memang dimasukkan ke hospital sebelum kami dapat kelulusan untuk mendakwa. Bagaimanapun, sehingga hari ini, kami tidak dapat memastikan mengapa dia dimasukkan ke hospital kerana doktor yang merawatnya tidak mendedahkan apa yang tidak kena dengan Daim," katanya.
Menurut Azam, Daim dijangka berdepan dengan sekurang-kurangnya satu pertuduhan kerana gagal mengisytiharkan beberapa hartanah yang dimiliki bersama isterinya.
Katanya, SPRM juga boleh membawa seorang hakim ke hospital yang menempatkan Daim supaya pertuduhan dapat dibacakan.
Bagaimanapun, Azam berkata ini bukan pilihan pertama mereka melainkan keadaan memerlukannya.