Pentingnya Keterlibatan Wanita dalam Keadilan Iklim – Ili Nadiah

Shopee CNY Sale

Ramai menggelar Ili Nadiah Dzulfakar sebagai pejuang alam sekitar, tetapi bagi Ili Nadiah, panggilan yang lebih sesuai ialah “feminis eko” (ecofeminist).

Bagi aktivis ini, tiada pemisahan antara berjuang untuk melindungi alam sekitar dan memperkasakan serta melindungi hak wanita, terutamanya dalam isu krisis alam sekitar.

Bagi pengasas bersama Persatuan Kesedaran dan Keadilan Iklim Malaysia (Kamy) ini, perjuangan melawan perubahan iklim bukan sahaja melibatkan impak fenomena ini kepada bumi. 

Sebaliknya, perjuangan Ili Nadiah adalah untuk keadilan iklim - memastikan mereka yang terkesan akibat perubahan iklim dibela, dan golongan yang menyebabkan perubahan iklim bertanggungjawab.

Ili Nadiah berkata dia memilih perjuangan ekofeminisme kerana wanita antara golongan yang paling terkesan akibat perubahan iklim, terutamanya wanita dalam komuniti terpinggir.

Contohnya, seluruh dunia, masyarakat pribumi secara amnya menerima impak buruk dari perubahan iklim.

Bagaimanapun, katanya dalam komuniti itu, golongan wanita yang mengalami kesan langsung dari perubahan alam sekitar.

Apabila terjadinya kemarau, dalam banyak komuniti pribumi, wanita bertanggungjawab untuk mengumpul air untuk kegunaan keluarga. 

Pada masa yang sama, dalam kalangan komuniti luar bandar dan pribumi, wanita biasanya berperanan menyediakan makanan untuk keluarga, termasuk berkebun atau menanam padi.

Bila kebun atau sawah mereka dilanda banjir, mereka perlu bekerja keras mencari alternatif untuk memberi makan kepada anak-anak dan keluarga, katanya.

Menjadi aktivis

Sebenarnya bekas jurutera ini tidak memilih menjadi aktivis. Setelah melanjutkan pelajaran di Eropah dan mula bekerja di sana untuk beberapa tahun, Ili Nadiah membuat keputusan pulang ke Malaysia pada tahun 2016. 

Pada tahun itu, dia juga mula membuat kerja amal di kampung Orang Asli di Kelantan dan Selangor.

Pengalaman sebagai sukarelawan ini yang mengubah hidupnya.

“Bekerja bersama masyarakat Orang Asli mencetuskan minat saya ke arah bidang ini,” katanya.

“Saya nampak sendiri kerosakan alam sekitar dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli akibat kerosakan itu.”

Ili Nadiah Dzulfakar (tiga dari kiri) bercakap di persidangan kemuncak perubahan iklim Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), COP27, di Mesir. 

Dari situ, dia mula mencari penyelesaian untuk masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli.

Ini mendorongnya mencari lebih ilmu tentang perubahan iklim, sehingga dia membuat keputusan mengambil kursus ijazah sains alam sekitar di Universiti Nottingham di Semenyih.

“Di situlah saya mula nampak perhubungan antara pelbagai faktor dalam perlindungan alam sekitar dan sedar bahawa untuk menyelesaikan isu kerosakan alam sekitar, kita mesti selesaikan masalah yang dihadapi penghuninya. 

“Kalau kita nak selamatkan hutan, kita kena bantu penduduk. Pastikan hak asasi mereka dilindungi,” katanya. 

Dan hanya tujuh tahun selepas dia mengubah jalan hidupnya, dia dilantik menganggotai panel penasihat kerajaan untuk konsultasi perubahan iklim.

Kamy antara suara paling lantang memperjuangkan isu keadilan iklim di kalangan masyarakat sivil di Malaysia.

Jadi mangsa dedah maya akibat pandangan sebagai feminis

Bukan mudah untuk menyingkap siapa Ili Nadiah sebenarnya dan bagaimana dia menjadi Ili Nadiah hari ini.

Walaupun biasa di pentas awam, dia amat berhati-hati dan mengelak berkongsi maklumat peribadi - latar belakangnya, tempat asal, latar belakang keluarga. Ini selepas satu insiden penuh trauma dialaminya pada tahun 2020. 

Pada tahun itu, dia terlibat dalam kempen aktivisme untuk “16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Gender”, yang dianjurkan setiap tahun seluruh dunia dari 25 Nov (Hari untuk Menghapuskan Keganasan Terhadap Wanita) sehingga 10 Dis (Hari Hak Asasi Manusia).

Pada tahun itu Ili Nadiah terlibat dalam kempen yang dianjurkan sebuah NGO hak wanita, dan dalam kempen itu dia berkongsi pandangan tentang perjuangan antiperubahan iklim dalam perspektif feminisme. 

Semasa kempen ini dilancarkan, Ili Nadiah berada di lapangan dan langsung tidak ada akses pada media sosial.

Apabila dia pulang dua hari kemudian, ribuan mesej buruk menunggunya di laman media sosial, Twitter. 

“Saya tertekan apabila saya nampak ribuan orang kongsi maklumat peribadi dengan cara ancaman, semata-mata kerana saya bercakap tentang aktivisme perubahan iklim dari lensa feminis. 

“Saya menerima banyak reaksi negatif ke atas apa yang saya katakan, termasuk ramai pembenci perempuan (misogynist),” katanya. Selepas insiden itu, dia tidak lagi aktif di Twitter, yang kini dikenali sebagai X. 

Ili Nadiah Dzulfakar dan ucapannya yang berkobar-kobar.

Asakan pihak misogynist menguatkan kepercayaannya bahawa perjuangan untuk keadilan iklim adalah perjuangan untuk memperbetulkan masalah sistemik.

Untuk memperbaiki sistem sedia ada, adalah wajar untuk mencabar norma patriarki dan penguasaan lelaki. 

“Model ekonomi sedia ada sangat berbentuk patriarki dan ekstraktif. Bila saya bercakap tentang naratif ini, ramai yang tak boleh terima.

“Persepsi bahawa wanita bukan tidak reti membuat keputusan atau tidak tahu menyelesaikan masalah adalah satu persepsi yang sangat bermasalah dan patut diperbetulkan,” katanya.

Kekalkan momentum

Ili Nadiah cuba melawan persepsi dan sistem melalui kerjanya dengan Kamy.

Kamy merupakan organisasi yang fokus kepada perubahan iklim, dan membuat kajian serta melatih pemegang taruh termasuk Orang Asli, media dan belia wanita.

Ini amat penting, katanya, kerana sains dan bahasa yang digunakan dalam bidang ini selalunya susah difahami, terutamanya dalam kalangan mereka yang paling terkesan oleh perubahan iklim. 

Seperti penglibatan Ili Nadiah dalam bidang aktivisme, Kamy juga terbentuk secara tidak sengaja. 

Pada tahun 2019, Ili Nadiah terlibat dalam penganjuran protes perubahan iklim dan dari situlah tercetusnya idea untuk menubuhkan satu pergerakan kekal demi memperjuangkan isu ini secara lebih konsisten. 

Mungkin ini sedikit sebanyak didorong pengalamannya sebagai aktivis pelajar, di mana dia terlibat dalam pelbagai pergerakan memperjuangkan hak migran, pekerja dan gender.

MENARIK:  Kerajaan mengutuk tindakan ancaman pembunuhan terhadap Teresa

Tetapi pada pengamatannya, pergerakan-pergerakan ini “muncul dan bubar selepas sesuatu masa” tanpa adanya usaha yang konsisten. Dia tidak mahu ini juga berlaku selepas protes perubahan iklim 2019. 

Dengan penglibatan aktif Ili Nadiah, momentum aktivisme iklim di Malaysia masih kuat dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pudar. 

Kolonialisme karbon 

Selain tugasnya sebagai pengarah program Kamy, Ili Nadiah juga sibuk dalam bidang dasar, melobi pembuat dasar dan membina jaringan kerjasama untuk menangani isu perubahan iklim.

Dalam hal ini juga dia berpegang pada prinsip ekofeminisme. 

Dalam sesi libat urus dengan kerajaan, dia bijak membawa diskusi ke topik keadilan gender dalam tatakelola perubahan iklim. 

Ini memastikan perspektif gender dimasukkan dalam semua dasar, program dan aktiviti di setiap tahap. 

“Adalah penting untuk memastikan tindakan yang diambil untuk menangani perubahan iklim berasaskan kemanusiaan (people-centric), didokumentasikan secara demoktratik dan proses membuat keputusan melibatkan komuniti,” katanya. 

Komuniti Orang Asli membantah Empangan Nenggiri di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Katanya isu Empangan Hidroelektrik Nenggiri di Kelantan menunjukkan bagaimana tindakan untuk menangani perubahan iklim mesti dibuat seiring dengan hak asasi manusia. 

Empangan itu dapat membantu TNB mengurangkan pengeluaran karbon, iaitu satu tuntutan untuk mengurangkan impak perubahan iklim.

Namun, ia juga melibatkan penebangan hutan yang luas. Hutan memainkan peranan penting dalam menangani perubahan iklim kerana ia bertindak sebagai kawasan tadahan karbon (carbon sinks).

Menebang hutan untuk empangan itu juga akan menjejaskan kehidupan Orang Asli yang bergantung pada hutan untuk mengekalkan cara hidup mereka.

Ili Nadiah berkata tindakan atas nama green energy transition (peralihan sumber tenaga hijau) sebenarnya sejenis “kolonialisme karbon” dan “ketidakadilan iklim”.

“Sekarang kerajaan kata, ‘OK, mari kita menjadi lebih mesra iklim dan ubah cara kita (menjana) tenaga. 

“(Tetapi ini dilakukan) dengan mengambil alih tanah orang untuk membuat empangan besar.

“Jadi dalam cara ini, perubahan sistemik dari sesuatu yang ‘buruk’ kepada sesuatu yang ‘baik’ sebenarnya tidak berlaku untuk mereka yang bergantung pada tanah tersebut - mereka hilang hak mereka kepada tanah itu,” katanya.

Lebih buruk lagi, komuniti Orang Asli yang terkesan itu masih tidak dapat bekalan elektrik.

Dan kalau pun mereka mendapat bekalan elektrik selepas itu, di sebalik pengorbanan memberi laluan kepada empangan, mereka tetap perlu membayar bil yang tinggi.

“Ia satu ketidakadilan dan kami juga bekerjasama atas isu ini dengan komuniti lain,” katanya.  

Wanita di meja pembuat keputusan

Ili Nadiah sedar perubahan sistemik perlukan pendekatan yang melibatkan pelbagai pemegang taruh.

“Kami percaya ia perlu melibatkan kepelbagaian perspektif dan latar belakang untuk mendapatkan kesefahaman yang lebih jelas dan penyelesaian yang menyeluruh,” katanya.

Ili Nadiah Dzulfakar (tengah) bercakap di persidangan anjuran Right Here, Right Now Global Climate Alliance’s di Colorado, AS.

Amat penting baginya untuk para wanita terlibat dalam proses membuat keputusan dalam menangani krisis perubahan iklim, kerana wanita merupakan kumpulan besar dalam masyarakat.

Untuk membolehkan perkara ini berlaku, katanya, wanita perlu diperkasakan dari segi politik. 

Ini bukan hanya bermaksud aktif dalam politik kepartian atau memegang jawatan eksekutif, tetapi juga sedar akan hak dan peranan mereka dalam masyarakat.

Contohnya, mak cik-mak cik kejiranan memainkan peranan penting dalam masyarakat dan menggerakkan masyarakat ke arah perubahan.

“Kesedaran tentang hak mereka dan peranan mereka dalam menggerakkan masyarakat, itu sangat penting,” katanya. 

Sama juga dengan peranan wanita dalam tatakelola pengurusan perubahan iklim.

“Kalau kita nak pastikan dasar yang diambil berjaya, wanita perlu terlibat dalam prosesnya dari mula sampai akhir,” katanya. 

Keperluan segera

Ili Nadiah juga sedar bahawa cabaran perubahan iklim adalah amat besar dan mungkin tidak dapat ditangani.

Apatah lagi kerana perubahan iklim berlaku dengan kadar yang cepat, dan memerlukan tindakan segera.

Dia percaya kerajaan Malaysia dan ramai dari masyarakat sivil di Malaysia belum berasa cemas (sense of urgency) dan mempunyai kesedaran bahawa tindakan untuk menangani perubahan iklim perlu dilakukan segera.

“Perjalanan ini (memperkasakan masyarakat untuk berjuang demi keadilan iklim) akan mengambil beberapa dekad.

“Persoalannya, berapa ramai yang akan kita mampu perkasakan agar mereka dapat menyelamatkan diri sendiri dalam masa beberapa tahun ini?

“Ini penting kerana perubahan iklim berubah lebih pantas dari tindakan kita.”


MALAYSIANSKINI adalah siri artikel mengenai rakyat Malaysia yang memberi inspirasi.

Pada bulan Mac, kami akan menyiarkan wawancara dengan para wanita terkemuka di Malaysia, melalui siri Wanita Di Hadapan sempena Hari Wanita Antarabangsa.

Datuk M
Datuk Mhttps://murahviral.com
Budaya bersatu, menyatukan warna kehidupan, cerita, dan warisan yang memperkaya kepelbagaian insan manusiawi.

Artikel Berkaitan

SERTAI TELEGRAM GROUP KAMITelegram Group Murah Viral

Instagram

Popular Hari Ini

IKLANShopee CNY Sale