Pihak polis menerima notis perhimpunan Women's March Malaysia (WMMY) 2024 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu ini, menurut penganjur.
Bagaimanapun, wakil penganjur berkata polis tidak menjelaskan mengapa pihak berkuasa itu enggan menerima penyerahan notis sebelum ini.
"Ia adalah dokumen yang sama yang kami cuba hantar melalui kurier pada hari Jumaat dan (dengan tangan pada) Sabtu dan ia diterima tanpa sebarang masalah hari ini," kata Deborah Augustin kepada pemberita di luar ibu pejabat polis daerah Dang Wangi hari ini.
"Jadi setakat yang kami tahu tidak ada sebab diberikan mengapa ia tidak diterima dan kami tidak diberikan sebab," tambahnya.
Dia ditemui selepas bertemu pihak polis dalam percubaan kelima mereka untuk mengemukakan notis seperti yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman.
Augustin mengalu-alukan kerjasama polis hari ini, tetapi menegaskan kebebasan untuk berhimpun adalah hak dalam perlembagaan dan penganjur telah mematuhi syarat Akta Perhimpunan Aman.