Saksi kesembilan kes gangguan seksual melibatkan Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret Tenom di Sabah dia membuat laporan polis untuk menghentikan perbuatan pendakwah itu supaya tidak ada lagi yang menjadi mangsa seterusnya.
Wanita berusia 40-an itu berkata dia dan suami pada mulanya tidak merancang untuk membuat laporan polis, namun selepas gambar serta video Ebit Lew tersebar, dia membuat keputusan pada 2 Ogos 2021 untuk membuat laporan berhubung gangguan seksual itu.
Pengadu itu berkata dia telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Aman pada 7 Ogos 2021 kerana Ebit Lew merupakan pendakwah terkenal.
"Pada mulanya, saya dan suami berbincang tidak perlu lapor (polis), biar Allah sahaja balas apa yang Ebit buat. Tetapi, apabila banyak gambar dan video tersebar, kami ambil keputusan untuk lapor sebab bukan seorang mangsa seksual Ebit, tetapi ramai," katanya.
Wanita itu berkata demikian di hadapan majistret Nur Asyraf Zolhani semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Zahida Zakaria pada perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah terbabit hari ini.
Saksi itu berkata perbincangan antara dia dan suami juga dibuat apabila melihat hantaran melalui Facebook Mohd Fairuz Abu atau Akhi Fairuz Al-Jengkawi iaitu saksi pendakwaan pertama mengenai gangguan seksual oleh pendakwah terkenal itu pada 26 Julai 2021.
Wanita itu berkata Fairuz turut berada di Bukit Aman ketika dia membuat laporan polis sebagai saksi sebelum dibawa berjumpa dengan saksi pendakwaan ketiga Firdaus Wong.
Ketika ditanya sekiranya Akhi Fairuz dan Wong menawarkan apa-apa imbuhan atau membuat sebarang pakatan dengan saksi untuk menjatuhkan Ebit Lew, wanita itu berkata, "Tidak, tiada".
Dalam keterangan selama tiga jam itu, wanita terbabit turut memberitahu dia juga telah cuba menyekat (block) dan nyahsekat (unblock) nombor telefon Ebit Lew pada 9 April 2021 antara 2.07 pagi hingga 11.44 malam.
"Ya, memang betul mulanya saya block dia, tapi hari itu saya jadi keliru. Saya risau, saya block sebab saya marah dia bagi ayat lucah dan minta gambar lucah, tapi dalam masa sama saya unblock … saya bimbang kerana saya ada beri dia gambar.
"Gambar-gambar saya ada di tempat dia, sebab itu saya unblock. Dia tidak minta maaf pun atas perbuatan dia, jadi bagi saya dia tidak berubah, dia jahat," katanya.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok.
-Bernama