Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis dan kerajaan membayar ganti rugi RM338,000 kepada keluarga S Balamurugan berhubung kematian Balamurugan dalam tahanan pada 2017.
Dalam satu kenyataan media petang ini, Lawyers for Liberty (LFL) mengesahkan anugerah yang diberikan oleh mahkamah sivil hari ini, berikutan keputusan mahkamah yang sama pada 2022 bahawa pihak berkuasa bertanggungjawab dalam tindakan sivil keluarga itu.
Kumpulan peguam itu berkata bahawa hakim Su Tiang Joo memberikan ganti rugi am sebanyak RM100,000, ganti rugi teruk RM200,000, dan ganti rugi khas RM16,000.
LFL menambah bahawa mahkamah sivil memerintahkan polis dan kerajaan membayar kos RM22,000 kepada keluarga Balamurugan.
“Ini adalah keputusan saman yang difailkan oleh keluarga S Balamurugan terhadap polis dan kerajaan kerana kecuaian, serangan dan memukul serta mecedera, pengurungan secara salah dan pelanggaran kewajipan berkanun atas kematiannya pada 8 Februari 2017 semasa dalam tahanan di IPD Klang Utara.
"Si mati ditemui dengan 20 tanda kecederaan dan punca kematiannya ditentukan oleh pakar patologi sebagai "penyakit arteri koronari dengan beberapa kecederaan akibat objek tumpul"," kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.
Pada 7 Feb 2020, plaintif - isteri Balamurugan dari Thailand, Natthanan Yoochomsuk dan abangnya S Balraj - memfailkan tindakan sivil.
Pada 18 Jan 2018, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati polis melakukan beberapa pelanggaran serius dan salah guna kuasa berhubung kematian Balamurugan pada tahun sebelumnya.
Balamurugan ditahan dan didakwa dipukul di balai polis Bandar Baru Klang pada 6 Feb 2017, sebelum dibawa ke lokap berpusat Shah Alam selama beberapa jam dan kemudian dihantar untuk perbicaraan reman di Mahkamah Majistret Klang keesokan pagi.
Majistret memerintahkan supaya Balamurugan dibebaskan, tetapi sebaliknya, dia didakwa ditahan di ibu pejabat polis daerah Klang Utara dan ditemui mati pada awal pagi 8 Feb 2017.
Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa seorang daripada defendan atau pegawai polis lain dengan sengaja dan tanpa sebab telah melakukan serangan dan memukul Balamurugan semasa dalam tahanan sehingga menyebabkan kematiannya.
Kedua-dua plaintif mendakwa bahawa kecederaan dan kematian Balamurugan, serta kerugian dan kerosakan yang diakibatkan, adalah disebabkan oleh pelanggaran kewajipan defendan.
Plaintif mendakwa selanjutnya atau sebagai alternatif bahawa kematian Balamurugan adalah disebabkan oleh pelanggaran kewajipan statutori defendan di bawah Seksyen 3(3) Akta Polis 1967.
Plaintif juga berhujah lanjut atau sebagai alternatif bahawa defendan telah menangkap dan menahan si mati tanpa sebab yang sepatutnya dan bercanggah dengan undang-undang antara 6 dan 8 Feb 2017.
Melalui tuntutan mahkamah itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta RM23,000 sebagai ganti rugi khas, ganti rugi kepada keluarga untuk kehilangan akibat kematian, dan ganti rugi untuk faedah harta pusaka si mati.
Kedua-duanya memohon perisytiharan bahawa defendan telah dengan niat, tanpa sebab yang adil, melanggar kebebasan asas si mati di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Mereka menuntut faedah tahunan lapan peratus dari tarikh pemfailan saman hingga tarikh penghakiman, faedah lima peratus dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian penuh, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Natthanan dan Balraj adalah pentadbir harta pusaka Balamurugan.
Keluarga itu diwakili peguam Zaid Malek dan Nabila Khairuddin, manakala polis dan kerajaan diwakili peguam kanan persekutuan Nur Ezdiani Roleb dan peguam persekutuan Afiq Nazrin Zaharinan.