[ad_1]
Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat keputusan menamatkan perkhidmatan agensi yang mengendalikan permohonan visa Malaysia pekerja asing warga Bangladesh, menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya permohonan oleh majikan kini boleh dilakukan menerusi sistem MyVisa milik Jabatan Imigresen menggunakan ID aktif dan manual pengguna yang akan diberikan oleh kerajaan.
“Majikan bertanggungjawab untuk menyegerakan proses kemasukan pekerja asing berdasarkan kuota diluluskan (berkaitan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0).
“Di Jabatan Imigresen permohonan visa atau eVisa dapat diproses satu hingga dua hari oleh majikan sendiri,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Dia turut menyeru majikan agar memanfaatkan sistem berkenaan agar proses permohonan visa lebih cekap dan cepat.
Sementara itu, Saifuddin menggesa sebuah organisasi badan bukan kerajaan (NGO) Human Right Watch (HRW) mengemukakan bukti insiden penderaan dan kematian melibatkan kanak-kanak dan wanita di depot Imigresen di negara ini.
“Ini bagi membolehkan kami membuka kertas siasatan dengan kadar segera. Dengan maklumat lengkap, saya sendiri tidak akan berlengah-lengah (untuk menyiasat) dan kami di KDN memandang serius perkara itu,” katanya.
Dia juga bersedia untuk mengadakan perjumpaan dengan NGO untuk berbincang mengenai perkara itu.
HRW menerusi satu laporan mendakwa lebih 1,400 kanak-kanak ditahan dengan sebahagian dipisahkan dari keluarga atau bersendirian.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung isu ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace.
Katanya kerjasama ini akan menyemak kepada secara menyeluruh ajaran tersebut sekiranya terdapat ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.
“Saya akan bekerjasama dengan Datuk Dr Mohd Na’im (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya yang turut memaklumkan tiada sebarang laporan polis berhubung perkara tersebut diterima.
Semalam, media melaporkan Mohd Na’im turut mengesahkan ajaran tersebut bertentangan dengan syariat Islam.
-Bernama
[ad_2]