Seramai 18 ahli gabungan lima kongsi gelap dikenali sebagai kumpulan TR ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau dikenali sebagai Sosma atas kesalahan terlibat jenayah terancang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, kumpulan ini yang aktif di Selangor sejak 2019 terlibat dalam pelbagai jenayah seperti pengedaran dadah, pembunuhan dan peras ugut.
“Tangkapan dibuat pada 3 Mei di bawah operasi khas polis dikenali sebagai Ops Lima di mana kesemua 18 suspek ini ditahan di bawah Seksyen 4 (5) Sosma selama 28 hari.
“Sementara tiga lagi telah direman di Penjara Sungai Buloh dan hasil siasatan menunjukkan kesemuanya anggota kumpulan tersebut.
“Daripadanya, 20 dituduh di Mahkamah Sesyen Klang di bawah Seksyen 130 V Kanun Keseksaan hari ini yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun,” katanya di sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, pagi ini.
Katanya, seorang lagi suspek masih tidak didakwa kerana sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara(IJN).
Menurutnya kumpulan TR ini melibatkan lima kongsi gelap iaitu kumpulan 08, 18, 21, 24 dan 36.
“Pihak polis masih sedang mengesan saki baki anggota kumpulan ini.
“Kita mengenal pasti yang ahli kumpulan yang masih bebas dalam 10 orang,” katanya.