Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail mendakwa terdapat gerakan mengheret institusi diraja dalam insiden dakwaan seorang pemandu orang kurang upaya (OKU) dipukul oleh pengiring baginda.
“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” titah baginda.
Dalam kenyataan petang ini, baginda bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut berkaitan “gerakan” itu.
Terdahulu, baginda bertitah tidak merestui sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika pegawai pengiring baginda didakwa memukul seorang pemandu Grab OKU di sebuah hotel di Selasa lalu.
Polis kelmarin mendedahkan membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.
Beberapa jam selepas itu, polis bagaimanapun mengeluarkan kenyataan bahawa pengadu membuat laporan polis kedua yang berkata perkara itu selesai cara baik dan dia tidak mahu memanjangkan kes.
Bagaimanapun pelbagai pihak, termasuk ahli politik kerajaan dan pembangkang, NGO pekak serta kumpulan peguam mahu siasatan kes itu diteruskan.