Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama setakat 9.15 malam ini masih perlahan berikutan pergerakan orang ramai menjelang sambutan Tahun baru Cina esok dan cuti panjang.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama memaklumkan kenderaan bergerak perlahan di laluan menuju ke utara negara iaitu di Seberang Jaya-Plaza Tol Sungai Dua, Slim River- Sungkai dan Rawang-Sungai Buaya.
Selain itu, keadaan trafik turut dilaporkan bergerak perlahan di Nilai Utara-Nilai, Senai-Kulai, Plaza Tol Gombak-Genting Sempah dan Lentang-Bentong manakala aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah, lancar.
“Pengguna lebuh raya dinasihati merancang perjalanan dan memanfaatkan kemudahan tol percuma yang akan berakhir 11.59 malam ini,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/llminfotrafik.