Dalam nada sinis, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata Selangor FC kini boleh menyalahkan dirinya atau satu lagi "konspirasi besar" susulan serangan terhadap pemain Red Giant itu.
Tunku Ismail, yang juga pemilik Johor Darul Takzim FC, mendakwa ini adalah satu-satunya cara untuk Selangor FC menutup "kegagalan” mereka dan bukan mengakui kegagalan sendiri.
"Confirm ni semua kerja TMJ dengan JDT. Mastermind dan tangan ghaib. Next apa pulak Dr (CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon)?
"Cara terbaik nak tutup kegagalan selepas belanja RM47 juta duit kerajaan/rakyat setiap tahun mesti pandai buat cerita,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Tunku Ismail turut mendakwa Selangor FC berpura-pura menjadi mangsa.
"Semua salah TMJ, FAM, MFL, dan PDRM. Diri sendiri tak pernah salah. False flag," katanya dalam ruangan komen di hantaran akaun instagram Liga Bolasepak Malaysia mengenai kes seorang lagi pemain Selangor FC yang disamun malam tadi.
Awal hari ini, polis mengesahkan insiden pecah rumah di rumah pemain Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee semalam tiada kaitan dengan kes serangan membabitkan beberapa pemain bola sepak lain.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihak berkuasa menyimpulkan ia hanya kes pecah rumah dan menolak sebarang kaitan dengan serangan terhadap beberapa orang pemain baru-baru ini.