ULASAN | Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) diluluskan di Parlimen pada 29 November 2011 dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2012.
Maka dengan itu, Seksyen 27 Akta Polis yang memerlukan penganjur memohon satu permit daripada pihak polis tidak lagi terguna pakai dan kita memasuki era baru dalam penganjuran perhimpunan dan demostrasi di Malaysia.
Mari kita lihat secara ringkas sejarah serta pindaan-pindaan yang pernah dilakukan ke atas APA. Di dalam Rang Undang-Undang (RUU) APA yang dibentang di Parlimen pada 22 November 2011.
Penganjur perlu menghantar notis 30 hari sebelum perhimpunan dijalankan dan ‘protes jalanan’ dilarang sama sekali untuk dianjurkan. Ia juga memperuntukkan banyak perkara-perkara lain seperti kuasa Ketua Polis Daerah untuk mengenakan sekatan-sekatan ke atas sesuatu perhimpunan bagi tujuan keselamatan serta mengenakan apa-apa syarat tambahan yang perlu dipatuhi penganjur.
APA akhirnya diluluskan dengan beberapa pindaan antaranya keperluan menghantar yang notis dikurangkan kepada 10 hari sebelum perhimpunan, tetapi juga mengekalkan banyak peruntukan asal di dalam RUU seperti seperti Seksyen 9(5) yang membenarkan denda sehingga RM 10,000 bagi kegagalan penganjur menghantar notis pemberitahuan.
Sewaktu penggubalan APA pada 2011 sehingga ia diluluskan, ia mendapat tentangan hebat oleh kumpulan masyarakat sivil dan pihak pembangkang iaitu Pakatan Rakyat, yang menyatakan ia lebih teruk daripada akta-akta sama di negara lain termasuklah di Myanmar.
Malah APA diluluskan dengan hanya undian suara daripada pihak kerajaan sahaja, kerana pihak pembangkang ketika itu bertindak keluar dewan membantah akta itu tidak dibawa bagi perbincangan lanjut di peringkat jawatankuasa terpilih.
Notis pemberitahuan
Setelah beberapa tahun diluluskan, pada 2019 beberapa pindaan telah dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan ke atas APA. Antaranya tempoh notis yang dikurangkan kepada lima hari, istilah serta takrifan ‘protes jalanan’ dikeluarkan, dan pihak polis dibenarkan mengeluarkan kompaun bagi kegagalan menghantar notis.
Namun masalah pokok yang menyekat hak berhimpunan dan bersuara di Malaysia masih tidak berubah. Saya akan terangkan satu-persatu hipokrasi disebalik APA menggunakan isu Palestin sebagai contoh agar kita mudah memahaminya.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia merupakan undang-undang tertinggi, dan ia menggariskan hak-hak asasi yang menjadi tunjang kepada Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi. Perkara 10 menggariskan bahawa semua warganegara mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
Maka secara asasnya, sekiranya perhimpunan itu berlaku secara aman dan tidak menggugat keselamatan awam, ia seharusnya dibenarkan. Manakala notis di dalam APA sepatutnya dilihat sebagai pemberitahuan kepada pihak berkuasa agar mereka boleh menyelia perhimpunan seperti memastikan keselamatan protes, menjaga lalu lintas, mengelakkan ganggu gugat ke atas peserta dan bukannya bertujuan bagi menyekat perhimpunan. Denda yang tinggi dikenakan ke atas penganjur jelas bercanggah dengan konsep dan tujuan APA.
Mari kita lihat isu Palestin sebagai satu contoh. Setiap kali ada tindakan kejam ke atas penduduk Palestin seperti tindakan genosid Israel selepas 7 Oktober baru-baru ini, ramai dari rakyat Malaysia yang ingin menunjukkan bantahan mereka akan berkumpul contohnya di Dataran Merdeka dan memacak khemah berhampiran kedutaan Amerika Syarikat untuk melakukan protes.
Kita faham sekiranya ada ketidakadilan yang sangat buruk, kita perlu melakukan sesuatu dengan pantas bagi mengelakkan ia terus berlaku. Dan seperti isu genosida di Palestin yang masih berlaku sekarang, adakah kita mahu menuggu selama lima hari sebelum kita melakukan apa-apa? Di dalam lima hari tersebut, beribu-ribu orang termasuklah wanita dan kanak-kanak boleh terbunuh. Di dalam konteks ini, APA tidak membenarkan mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan secara aman tanpa memberikan notis awal kepada pihak polis.
Denda terlalu tinggi
Begitu juga dengan isu-isu lain yang memerlukan tindakan drastik seperti isu pengusiran paksa, isu kematian dalam tahanan serta isu salah guna kuasa. Kegagalan penganjur memberikan notis, akan merisikokan mereka untuk disiasat dan didakwa di mahkamah tidak kiralah samada situasi cukup mendesak ataupun tidak. Denda yang terlalu tinggi juga akan menyebabkan ramai pihak melihatnya sebagai sesuatu yang boleh menyekat hak mereka untuk bersuara dan berhimpun.
Di sini, kita boleh lihat bagaimana notis seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 9 APA boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjanjikan kebebasan kepada semua rakyat.
APA 2012 juga melarang mana-mana individu bukan warganegara untuk menyertai mana-mana perhimpunan. Sekaligus, membawa kesan kepada rakyat Palestin yang menghadiri mana-mana protes bantahan berkenaan apa yang berlaku di negara mereka sendiri kemudiannya berdepan risiko untuk disekat menyertai perhimpunan dan dikenakan tindakan undang-undang seperti dihantar pulang ke negara asal. Apakah ini adil saatnya negara mereka berdepan genosid? Ini sepatutnya tidak berlaku dalam negara kita bersungguh menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.
Berhubung dengan itu, apakah undang-undang ini kemudiannya turut digunakan bagi mendakwa pihak yang kita tidak sukai? Adakah isu penindasan dan salah guna kuasa di Malaysia tidak penting untuk kita nyatakan sokongan?
Perlu disemak semula
Di Malaysia, kebanyakan kes-kes rasuah dan salah guna kuasa yang besar melanda negara kita hanya mampu dibawa ke pengetahuan masyarakat umum malalui protes-protes jalanan. Sebahagian besar daripada mereka yang berada di dalam kerajaan pada hari ini juga adalah rentetan gelombang gerakan rakyat yang menuntut perubahan dengan cara turun ke jalan raya hingga berlakukanya perubahan kerajaan.
Namun, apa yang berlaku sekarang? Pada Ogos 2022 Amir Abd Hadi, penganjur sebuah tunjuk perasaan berkenaan dengan skandal kapal LCS dituduh di mahkamah atas alasan tidak menghantarkan notis, pada perhimpunan hanya bersifat kecil di hadapan pasaraya SOGO. Semalam perwakilan untuk mengenepikan tuduhan beliau telah ditolak. Justeru, beliau akan terus dituduh dan akan menjalani pendakwaan. Sekiranya disabitkan kesalahan, beliau bakal didenda sehingga RM 10,000. Hal ini terjadi kerana APA yang membenarkan pendakwaan sebegini.
Undang-undang tidak boleh bersifat berat sebelah, dan harus meliputi dan menjaga hak semua pihak secara sama rata, dan tidak hanya boleh memberi kesan yang buruk kepada beberapa pihak yang lain. Mahkamah juga pernah memberikan keputusan bahawa Seksyen 9(5) APA adalah tidak berperlembagaan di dalam pendakwaan ke atas Nik Nazmi pada Mei 2013. Ia adalah kerana wujudnya percanggahan dengan Perkara 10 Perlembagaan.
APA yang sudah beberapa kali dipinda sebelum ini harus terus disemak semula bagi menjamin hak rakyat Malaysia untuk terus bersuara bagi kebaikan bersama.
MOHAMMAD ALSHATRI ABDULLAH merupakan Setiausaha Agung Liga Rakyat Demokratik.