Umno mengambil keputusan "tutup buku" berhubung cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Ia selepas keputusan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming tidak mahu lagi memanjangkan isu berkenaan, ekoran bantahan Umno.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu sedia bekerjasama dengan kementerian Nga berhubung isu kemiskinan bandar, kesempurnaan kemudahan asas dan infrastruktur rakyat di kawasan perumahan sertai isu lain yang berkaitan.
"Terima kasih YB Nga Kor Ming kerana menghormati pendirian Umno dan tidak mahu memanjangkan cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia Unesco.
"Banyak keutamaan lain yang perlu Kerajaan Perpaduan tumpukan ketika ini terutamanya dalam isu menangani kos sara hidup rakyat yang kian meningkat di samping meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup rakyat dalam segenap aspek.
"Umno bersedia bersama dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membantu agenda Kementerian di bawah YB Nga Kor Ming terutamanya yang melibatkan isu kemiskinan bandar, kesempurnaan kemudahan dan infrastruktur rakyat di kawasan perumahan, isu perumahan mampu milik generasi muda dan pelbagai isu lain yang menyentuh kualiti hidup rakyat di kawasan bandar khususnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Nga dilaporkan enggan memanjangkan lagi isu berhubung cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan dunia Unesco.
Dia juga enggan mengulas sebarang isu berkaitan.
Malah, Nga menyatakan sudah bergerak ke hadapan daripada menjadikannya isu supaya tidak disalah tafsir mana-mana pihak.
"Janganlah... Saya tahu, saya komen satu perkataan sahaja lari tajuk (disalah tafsir).
"Itu story (isu) pun sudah tutup... kita 'move on', tak jadi isu pun... Tiada isu," kata Nga.
Dalam pada itu Asyraf berkata, isu yang melangkaui soal kaum memerlukan pendekatan bersifat keterangkuman dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan semuanya dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Diharapkan apa juga isu yang boleh mencetuskan polemik dapat dielakkan dan perbincangan secara tertutup di kalangan anggota Kabinet dan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dapat diadakan terlebih dahulu pada masa akan datang," kata Asyraf lagi.
Tumpu usaha pulih ekonomi
Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub pula berharap semua pihak boleh menerima kenyatan Nga itu dan berhenti daripada memanjangkan isu berkenaan.
"Veteran ingin menegaskan supaya tidak ada lagi selepas ini mana-mana pihak dari kepimpinan DAP yang cuba mengungkitkan isu sensitif yang boleh membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat majoriti negara ini. Terutamanya hal-hal yang menyentuh 3R (kaum, raja, agama).
Sementara itu, penganalisis politik dan geostrategis Azmi Hassan pula berpandangan isu Kampung Baru Cina itu tidak memberi kesan kepada hubungan Umno dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, cadangan DAP itu sekadar untuk memberi persepsi kepada penyokongnya bahawa mereka berpengaruh dalam kerajaan.
"Isu Kampung Baru Cina...DAP menyuarakan pandangan itu untuk memberitahu penyokong mereka bahawa DAP mempunyai pengaruh dalam kerajaan.
"Sudah pasti cadangan itu merupakan bola tanggung yang disedekahkan DAP kepada Umno dan Umno melalui setiausaha agungnya menyuarakan pandangan bahawa mereka tidak bersetuju.
“Kenapa saya kata bola tanggung, kerana DAP tidak perlu mengemukakan pandangan, sebaliknya membawa ia ke Kabinet.