Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mengkritik Seksyen 36 Akta SPRM dan menggesa para ahli parlimen menyemak semula undang-undang itu.
Zaid membangkitkan undang-undang di United Kingdom, di mana mahkamah - bukannya badan siasatan - yang boleh mengarahkan mana-mana warga untuk mengisytiharkan harta.
Seksyen 36 berkenaan kuasa untuk mendapatkan maklumat dan memberi kuasa kepada pesuruhjaya dan pegawai tinggi SPRM untuk mengkehendaki mana-mana individu untuk mendedahkan pendapatan, simpanan dan aset, jika ada alasan yang munasabah atau berdasarkan penyiasatan oleh pegawai suruhanjaya itu.
"Seksyen 36 Akta SPRM memberi kuasa kepada mana-mana pegawainya untuk memerlukan anda mengisytiharkan dari mana anda dapat wang untuk beli kereta Bentley baru atau pangsapuri di Damansara Heights.
"Ini cara mereka mengendalikan rasuah dan salah guna kuasa. Jika anda tidak patuh, anda boleh dipenjara sehingga lima tahun.
"Undang-undang ini sudah ada sejak 13 tahun lalu, namun ahli parlimen kita tiada masalah dengannya. Jelas yang mereka tidak pernah terima notis untuk jelaskan kekayaan mereka. Namun bagi saya ia undang-undang yang tidak adil dan tidak wajar," katanya di X.
Zaid menyifatkan kuasa seumpama itu yang ada pada SPRM seperti "jiran yang menjaga tepi kain orang lain".
"Jika jiran saya yang suka jaga tepi kain orang bertanya di mana saya dapat wang untuk beli kereta baru, itu bukan urusan dia.
"Adakah SPRM perlu dilayan berbeza daripada jiran saya yang menyibuk itu? Tidak, kecuali jika saya telah buat kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM," katanya lagi.
Semalam, isteri taikun Daim Zainuddin, Na'imah Abdul Khalid mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Na'imah, 66, didakwa melakukan kesalahan itu dengan memberikan akuan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi notis SPRM di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM.
'Siapa pantau SPRM?'
Menurut Zaid lagi, SPRM perlu ada asas yang munasabah untuk menggunakan seksyen itu.
"Mereka pastinya sudah mulakan siasatan dan dengan wajar percaya yang kesalahan telah dilakukan.
"Namun di negara kita, persoalan sama ada SPRM sudah mulakan siasatan atau tidak, dan jika SPRM ada asas yang munasabah untuk mengeluarkan notis, bergantung kepada SPRM sendiri.
"Di Britain dan negara lain, arahan untuk menyatakan aset atau rekod kewangan berhubung kekayaan yang tidak dijelaskan yang dimiliki mereka yang disyaki penjenayah dikeluarkan oleh mahkamah, bukannya badan penyiasat.
"Ia bagi memastikan pemantauan yang wajar dan tiada siapa yang boleh diganggu atau ditakut-takutkan oleh seteru politik. Siapa yang pantau SPRM?" katanya lagi.
Zaid berkata ahli parlimen perlu berhati-hati ketika meluluskan undang-undang jenayah yang boleh melanggar hak warga tidak bersalah, dan menggesa mereka untuk meneliti semula Akta SPRM dalam sidang akan datang.
"Anda tidak tahu bila anda mungkin terima notis untuk jelaskan wang yang digunakan untuk beli rumah kepada isteri ketiga anda pada 30 tahun lalu," katanya lagi.