[ad_1]
Penasihat PKR Pahang, Fauzi Abdul Rahman mendakwa berkata WhatsApp miliknya digodam sejak Ahad lalu.
Dia yang juga Pengerusi MyHSR Sdn Bhd (MyHSR) mendakwa akaun WhatsApp itu diceroboh selepas dia menekan pautan dikirim individu tidak dikenali, juga melalui aplikasi WhatsApp.
“Sebelum ini saya terima satu pautan dari WhatsApp yang dikirim individu tidak dikenali.
“Pautan itu kononnya dari Majlis Agama Islam Persekutuan Malaysia yang mengajak menyertai ceramah dipimpin Datuk Seri Dr Zulkifli Muhamad Al- Bakri (bekas) menteri agama.
“Saya tertarik untuk menyertai ceramah itu dan menekan pautan diberikan sebanyak dua kali dan selepas itu saya tidak boleh mengakses terus akaun WhatsApp saya,” katanya ketika ditemui media di kediamannya dekat Indera Mahkota, Kuantan, Pahang, hari ini.
Selepas itu, Fauzi memberitahu beberapa kenalan menghubunginya dan memaklumkan mereka menerima satu pesanan dari nombor WhatsApp miliknya meminta sejumlah wang sejak Ahad.
Bagaimanapun, dia menafikan memerlukan wang dan menyedari bahawa aplikasi WhatsApp disalah guna pihak lain.
“Masa itu rakan tanya Datuk Seri nak pakai duit berapa dan saya cakap WhatsApp digodam selepas tidak dapat membuka aplikasi itu.
“Saya bimbang ramai rakan akan menjadi mangsa scammer dan terus tampil membuat laporan polis hari yang sama,” katanya.
Dia turut memaklumkan sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan meminta kenalannya mengabaikan jika menerima WhatsApp menggunakan nombor miliknya dan meminta wang.
[ad_2]